Zizan Razak penat dihimpit kontroversi

KUALA LUMPUR: Ranjau perjalanan insan bergelar anak seni ini tak selalunya indah. Masakan tidak, jika diselak lembaran diari anak seni baik yang popular mahupun tidak, pasti tertulis pelbagai pengalaman manis atau tidak.

Begitulah juga yang berlaku di dalam perjalanan karier pelawak, pelakon, penyanyi dan pengacara, Zizan Razak sepanjang lapan tahun bergelar anak seni.

Benar kata pepatah, hidup ini ibarat pusing roda, hari ini kita di atas, esok mungkin di bawah.

Ketika namanya menuju ke puncak populariti, Zizan antara bintang yang sering mendapat perhatian ramai. Namun, ketika sudah berada di puncak populariti, dia kini seolah-olah sedang cuba dijatuhkan.

Mengakui penat dengan kontroversi yang silih berganti, bintang berusia 31 tahun ini menganggap segala yang berlaku sebagai satu dugaan.

"Apabila ada orang bercakap mengenai saya, bermakna mereka beri perhatian dan sayangkan saya. Sebab itu orang akan bertanya dan adakala ia menjadi besar.

"Tapi kalau cerita itu tak sedap di dengar, ada kala saya pilih untuk tak jawab, kalau saya rasa nak jawab, saya akan jawab dan ada ketika saya biarkan ia senyap sendiri.

"Bila kontroversi datang silih berganti, saya rasa penat juga. Sebab orang tak sudah-sudah cari salah saya. Pada sesiapa yang mereka cerita, biarlah mereka tanggung sendiri. Kerana niat saya berada di dalam industri ini untuk hiburkan orang, bukan nak berlagak," ujarnya.

Tidak mahu terus kecewa dengan apa yang berlaku, Zizan berkata, dia banyak mengadu kepada ALLAH SWT dalam mencari kekuatan mengharungi segala dugaan yang datang.

"Hidup ini ada ALLAH SWT. Saya bukan nak berlagak pandai agama. Tapi bila ujian datang silih berganti ini, pada siapa lagi kita nak mengadu kalau bukan kepada ALLAH SWT.

"Kalau kita minta maaf dengan orang, belum tentu orang maafkan. Tapi kalau kita minta maaf dengan ALLAH SWT, ALLAH itu Maha Pengampun.

"Jadi pada saya, saya buat salah atau tidak, saya minta maaf sahaja. Itu jalan yang terbaik dan saya memang berusaha mencari kesempurnaan," jelasnya.

Di tebak tidakkah dia bimbang bakal kehilangan peminat dek kontroversi yang menghimpit, Zizan berkata, dia percaya dengan rezeki yang ALLAH SWT tetapkan untuknya.

"Macam saya kata tadi, kita hanya mampu berdoa yang terbaik. Saya tak boleh harap peminat akan datang dan terus sokong saya.

"Saya hanya mahu jual bakat, hiburkan orang. Tapi kalau orang dah tak suka, saya tak boleh buat apa-apa," ujarnya.

Cari jalan terbaik

Ditanya mengenai kemungkinan kerjasamanya dengan aktor Kamal Adli dalam mana-mana projek yang akan datang, Zizan berkata, dia akan mencari jalan terbaik sekiranya mereka ditakdirkan bekerjasama.

Tegas Zizan dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Kamal pada masa akan datang.

"Mengenai isu filem Abang Long Fadil 2, saya rasa pihak produksi sudah pun menjelaskan hal sebenar dan saya tidak mahu masuk campur atau komen mengenai perkara itu.

"Tapi hakikatnya saya tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Kamal. Malah kalau ada tawaran, saya akan cari jalan yang paling baik untuk keselesaan kedua-dua pihak untuk bekerjasama. Benda yang senang tak perlu disusahkan," katanya.

Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Zizan berkata, buat sementara waktu ini dia akan memberi fokus terhadap penggambaran Abang Long Fadil 2 yang sudah pun memulakan penggambaran sejak beberapa hari lalu.

Antara pelakon lain yang membintangi sekuel ini, Datuk AC Mizal, Tania Hudson, Shuib Sepahtu, Achey, A Galak, Wak Doyok dan Syamsul Yusof.

0 Response to "Zizan Razak penat dihimpit kontroversi"

Post a Comment