KUALA LUMPUR: Tersentuh hati finalis Akademi Fantasia 2015 (AF2015) Syameel, 22,
apabila seorang warga emas yang hanya mampu bergerak menggunakan kerusi
roda sanggup datang menyaksikan persembahannya di Johor Bahru, baru-baru
ini.
Syameel tambah terharu ketika dia pergi berjumpanya selepas konsert, wanita itu mengucapkan terima kasih kepadanya.
“Sepatutnya saya yang mengucapkan terima kasih tetapi terbalik pula
kerana mak cik itu terlalu gembira dapat berjumpa saya dan menonton
persembahan saya secara langsung.
“Katanya, setiap minggu dia menonton saya dalam AF2015. Situasi seperti
itulah yang mendorong saya untuk melakukan yang terbaik untuk diri
sendiri dan peminat.
“Apatah lagi masa depan peserta AF bergantung kepada undian peminat dan
pastinya saya akan sentiasa ingat sokongan mereka selama sembilan minggu
bertarung di pentas AF2015,” katanya.
Menceritakan kenangannya di pentas final AF2015 lalu, Syameel atau nama
sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly berkata, seminggu sebelum malam
final dia kurang sihat akibat jadual agak padat.
“Waktu itu ada penggambaran muzik video dan latihan menyebabkan saya
tidak cukup tidur dan pada waktu sama saya banyak mengambil minuman
berais. Belum ada pengalaman, manalah saya tahu mengenai pantang larang
dalam menjaga kesihatan terutamanya suara.
“Pada malam final itu, tekak saya terasa perit dan kering, namun saya
cuba juga memberikan persembahan terbaik. Pada masa sama, saya bimbang
tidak dapat meneruskan nyanyian hingga habis.
“Saya memang tidak puas hati dengan persembahan saya pada malam itu. Pun
begitu, saya tetap bersyukur kerana menang tempat kedua. Sekarang saya
banyakkan mengambil air suam,” katanya.
Bercerita mengenai kehidupan dulu dan sekarang pula, jelas pemegang
Diploma Pengurusan Perniagaan ini, dia rasa dihargai apabila
kehadirannya dalam industri hiburan tanah air diterima ramai.
“Ke mana pergi orang kenal, namun saya tidak pernah riyak kerana mereka
inilah yang mengundi saya dan bersama-sama menyumbang kepada kejayaan
saya. Tentunya saya tak akan melupakan jasa mereka sampai bila-bila.
“Apa yang dapat saya balas balik kepada mereka dengan memberikan karya
terbaik. Kejayaan lagu Hidup Dalam Mati turut memberi kesan untuk karya
saya yang akan datang bagi memastikan lagu baru dapat mengatasi single
pertama itu ataupun berada sebaris dengannya,” katanya.
Tak kecewa
Syameel juga tidak kecewa juara AF2015 menjadi milik penyanyi Singapura,
Sufi walaupun ada yang menyifatkan Syameel lebih layak bergelar juara.
“Saya ada juga dengar orang kata begitu, tetapi semuanya rezeki masing-masing.
“Ketika terpilih ke AF2015, ada beberapa sasaran yang saya tetapkan.
Pada minggu pertama beraksi di pentas konsert, saya berharap tidak akan
tersingkir dan dapat melangkah ke minggu seterusya. Apabila kekal
sehingga minggu kelima, saya berazam pula untuk terpilih ke final.
“Terkandas pada minggu kelapan memberi tamparan kepada saya, namun
bersyukur akhirnya berjaya ke final. Apabila diumumkan tempat kedua,
Alhamdulillah, itulah rezeki saya,” katanya.
Bangga Hidup Dalam Mati dapat sambutan
Syameel juga amat bertuah apabila lagu dan lirik ciptaannya, Hidup Dalam
Mati dipersetujui Pengetua AF2015, Edry Abdul Halim untuk dinyanyikan
pada malam final itu.
“Itulah lagu pertama ciptaan saya kerana sebaik saja selesai aktiviti
yang disediakan pihak produksi, banyak masa terluang. Lantas saya
mengisi masa lapang dengan mencipta lagu itu. Ia menceritakan kisah
rakan saya yang ramai putus cinta termasuklah cinta monyet zaman
persekolahan dulu.
“Edry juga meyakinkan saya lagu itu akan kerap diputarkan di stesen
radio dan ia adalah pencapaian peribadi yang membanggakan saya. Lagu itu
sudah dimainkan di radio Era fm, Hot FM dan beberapa stesen radio lain.
“Apabila Hidup Dalam Mati sudah diterima ramai, saya akan muncul dengan
single kedua dan kali ini saya mahu bekerja dengan komposer disegani
ramai seperti Datuk M Nasir, Ajai dan semestinya Edry. Saya perlu cuba
menyanyikan lagu komposer lain supaya gaya nyanyian saya lebih
versatil,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Syameel hati dirobek"
Post a Comment