Nur Aurora nama pilihan anak kedua Farid Kamil

KUALA LUMPUR: Pelakon, Farid Kamil, 34 dan isterinya, Diana Danielle, 24 sepakat memberikan nama Nur Aurora kepada anak kedua mereka yang lahir pada 19 November lalu.

Nama yang membawa makna Cahaya Fajar diilhamkan bersempena waktu kelahiran si kecil iaitu kira-kira jam 4.05 pagi. "Nur Aurora dianugerahkan kepada kami dalam Subuh yang hening, sekali gus nama ini adalah perlambangan keindahan alam di permulaan hari setiap insan.

"Syukur, proses kelahirannya dipermudahkan kerana kontraksi hanya dalam tempoh sekejap apabila tidak sampai sejam bayi kami menjengah dunia," katanya ketika ditemui pada majlis promosi filem baharunya, Langit Cinta, di sini, malam tadi.

Diana melahirkan bayi perempuan yang genap berusia seminggu hari ini dengan berat 3.29 kilogram secara kelahiran dalam air (water birth) di Hospital Pantai, Bangsar. Mengenai pengalaman menemani isterinya di bilik bersalin khas itu, kata Farid, walaupun tidak memasuki tab bersama-sama, sokongan moral terus diberikan sepanjang proses berkenaan.

"Diana memaklumkan proses kelahiran dalam air ini membantu mengurangkan kesakitan berbanding melahirkan anak sulung sebelum ini. Apa pun, saya sentiasa di sisinya," katanya yang menjaga isterinya sendiri ketika berpantang. Kata pelakon dan pengarah itu lagi, beliau sedia berkongsi wajah puterinya apabila tiba masa yang sesuai nanti. Terdahulu, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada November 2012 dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad, yang kini berusia dua tahun lebih.

0 Response to "Nur Aurora nama pilihan anak kedua Farid Kamil"

Post a Comment