Zul Ariffin ada hak padam gambar kami berdua - Ayda Jebat

KUALA LUMPUR: Sudah menjadi kebiasaan buat artis hari ini memuat gambar drama atau filem lakonan mereka ketika era kebangkitan laman sosial masa kini.

Jika dulu perkembangan artis hanya dapat diketahui peminat menerusi dada akhbar, majalah atau kaca televisyen, kini semuanya hanya di hujung jari.

Selain sebagai pentas mempromosi drama atau filem sebelum ditayangkan di layar perak, artis yang mendapat watak hero dan heroin tidak ketinggalan merakam gambar mereka berdua.

Ketika drama Rindu Awak 200 % menjadi fenomena apabila teraju utamanya, Zul Ariffin dan Ayda Jebat, mereka melakukan perkara yang sama apabila drama itu hangat bersiaran di TV3.

Cuma baru-baru ini, timbul cerita bahawa Zul Ariffin memadamkan semua gambarnya dengan Ayda di laman Instagram miliknya.

Peminat kedua-dua pelakon ini yang menyedari tindakan Zul itu rata-rata menyatakan kurang puas hati mereka dengan apa yang dilakukan Zul.

Namun lain pula bagi Ayda yang memilih untuk terus menyimpan gambar mereka bersama. Setakat ini kenapa Zul memadamkan gambarnya dengan Ayda masih kurang pasti. Malah, ada yang menyifatkan tindakan Zul itu mungkin didorongi perasaan menjaga hati teman akrabnya iaitu pelakon baharu meningkat naik, Zahira MacWilson.

Bagi Ayda, apa yang dilakukan Zul itu berbalik kepada hak peribadinya dan dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana semua di luar kawalannya.

"Saya tidak ada masalah atau mempunyai sebarang hal kerana akaun Instagram hak miliknya," kata Ayda. Bagi Ayda, tindakan Zul itu mungkin beliau ingin mengemas kini akaunnya dan membuang apa sahaja yang dirasakan tidak perlu. "Saya memilih untuk menyimpan semua gambar di laman Instagram, tak kira dengan sesiapa pun.

Semua itu jadi kenangan dan beri nilai sentimental," katanya yang turut mara ke separuh akhir Muzik Muzik ke 30 menerusi lagu Siapa Diriku. Selepas lagu Siapa Diriku diterima ramai, Ayda kini baharu sahaja tampil dengan lagu rakaman semula berjudul Sinaran dendangan asal Datuk Sheila Majid.

Lagu Sinaran turut diangkat sebagai lagu tema filem baru arahan Osman Ali yang menggunakan judul sama. Filem Sinaran akan ditayangkan mulai 26 November ini. "Saya cukup teruja untuk projek nyanyian ini.

Bukan mudah menyanyikan lagu yang pernah dirakamkan seorang bintang legenda. "Tambahan pula lagu itu ada aura kuat jadi saya terikut-ikut dengan penyampaian penyanyi asal," katanya.

0 Response to "Zul Ariffin ada hak padam gambar kami berdua - Ayda Jebat"

Post a Comment