KUALA LUMPUR: Insiden ‘amuk’ penyanyi Datin Alyah, 34, dengan memuat naik status mengenai masalah rumah tangganya dengan Datuk Ramli MS di Instagram awal Januari lalu mengejutkan banyak pihak.
Ini termasuk tindakannya melanggar kereta milik suaminya yang turut mendapat liputan meluas.
Apa yang pasti, tindakan penyanyi lagu Sesal Separuh Nyawa ini menimbulkan tanda tanya.
Kini selepas hampir setahun, Alyah enggan mengungkit kisah lalu.
Baginya, tidak ada apa perlu dikesali sebaliknya ia menjadi pengajaran berharga untuknya.
“Apa yang berlaku membuatkan saya dan suami saling memahami. Saya tak menyesal dengan tindakan sendiri kerana sekurang-kurangnya saya belajar sesuatu daripada perkara itu.
“Dalam rumah tangga, setiap masalah yang berlaku bukanlah penamat kepada perhubungan dibina. Mungkin ia ujian dan dugaan daripada Allah yang mahu melihat sejauh mana kita boleh terima atau tidak,” katanya.
Alyah mengakui, sejak berkahwin dengan Ramli, dia tidak pernah meletakkan harapan tinggi.
“Tanggapan saya, apabila seseorang itu bercinta atau berkahwin, perhubungan terbabit pastinya indah saja. Saya membayangkan bagaimana pasangan itu saling mengambil berat, menyayangi antara satu sama lain dan banyak lagi.
“Tetapi apabila berkahwin dengan suami, sikapnya jauh berbeza malah saya jadi terkejut. Kalau dulu saya lebih banyak membuat keputusan sendiri kerana suami tak banyak cakap, tapi sekarang kami lebih kerap berkomunikasi,” katanya.
Alyah mengakui, Ramli kini sudah banyak menunjukkan perubahan malah dilihat lebih santai dan bersahaja.
“Apa yang ditunjukkan di TV itulah dia jika di rumah. Ada masa dia serius dan begitu juga sebaliknya. Apabila sudah lebih dua tahun berkahwin, kami semakin serasi.
“Paling penting, masing-masing sudah tahu nak kawal dan tangani masalah jika bergaduh,” katanya.
Dalam pada itu, Alyah menafikan sikap dan tindakan Ramli itu sekadar mahu mengujinya.
“Saya tak rasa dia nak menguji, sebaliknya saya anggap ini sebahagian daripada warna dan cerita perkahwinan saya. Setiap pasangan ada kisah masing-masing.
“Macam saya sendiri, pada awal perkahwinan bermula hambar dan banyak masalah, tetapi kini saya sudah merasai nikmat pekahwinan itu. Dalam erti kata lain, saya semakin bahagia,” katanya.
Pun begitu, Ramli kekal dengan sikapnya yang kurang gemar bergambar. Disebabkan itu, kata Alyah, gambarnya bersama suami boleh dikira dalam akaun Instagram miliknya.
Tuah lagu Syurga,Jika tahun lalu di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 29, Alyah mempertaruhkan lagu Sesal Separuh Nyawa.
Tahun ini, dia kembali beraksi apabila lagu Syurga hasil ciptaan Omar K dan lirik hasil tulisannya sendiri mara ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 30.
“Lagu ini sangat istimewa kerana bukan saja saya menulis liriknya, tetapi kerana ia bercerita mengenai isi hati saya terhadap ibu.
“Saya menghasilkan lirik ini ketika dalam penerbangan bagi mengadakan persembahan. Ketika itu saya membayangkan bagaimana sekiranya saya tak dapat bertemu dengan ibu lagi,” katanya.
Tidak meletakkan harapan tinggi, kata Alyah persediaan dilakukan lebih kepada vokal.
“Ini penyertaan kelima saya pada separuh akhir Muzik Muzik. Jadi saya sudah biasa berdepan dengan situasi itu. Saya hanya tampilkan persembahan seadanya,” katanya.
Pembabitan Alyah kali ini dianggap satu kebanggaan kerana perlu bersaing dengan penyanyi muda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Alyah semakin bahagia"
Post a Comment