BOLLYWOOD: Pelakon terkenal Bollywood, Aamir Khan, menerima kecaman hebat apabila
beliau berkata sikap tiada toleransi agama yang semakin buruk di India
mungkin memaksa beliau sekeluarga berhijrah ke negara lain.
Beberapa pemimpin Bharatiya Janata Party (BJP) dan pengguna media sosial
menganggap kenyataannya itu boleh menimbulkan keadaan 'gempar'.
Dalam satu rancangan temu bual di Mumbai semalam, Khan berkongsi
pendapatnya serta menyatakan beliau tidak bersetuju dengan perbuatan
media serta ahli politik yang terus mengaitkan kumpulan pengganas dengan
agama.
"Daripada menggelarkan mereka sebagai pengganas Kristian, pengganas
Hindu atau pengganas Islam, kenapa tidak panggil saja mereka pengganas?"
kata Khan dalam rancangan itu.
Pelakon berusia 50 tahun itu berkata beliau juga risau dengan tahap
ketiadaan toleransi dan isterinya, Kiran Rao, mencadangkan agar mereka
berhijrah kerana bimbang tentang keselamatan anak mereka.
Ramai peminat Khan memberi komen dalam media sosial tentang perkara itu dan kebanyakan mereka mempertahankan kenyataannya.
Mereka mendakwa, pembunuhan seorang lelaki warga emas di Uttar Pradesh
baru-baru ini kerana dikatakan memakan daging lembu dan pengharaman
penyembelihan lembu di semakin banyak negeri, terus menjadi penghalang
kepada keharmonian beragama dalam kalangan rakyat India.
Beberapa peminat Khan menyalahkan ahli politik dan fahaman fundamentalis
yang semakin menebal sebagai punca wujudnya keadaaan tidak selesa di
sesetengah tempat.
Jurucakap BJP Nalin Kohli berkata Khan berhak memberi pendapatnya,
tetapi beliau menegaskan bahawa India adalah negara yang mengamalkan
sikap toleransi.
"Kamu tidak boleh mengambil pengecualian sebagai peraturan. Kamu tidak
boleh lakukan sesuatu yang menggemparkan terhadap beberapa insiden yang
menyimpang. Janganlah kita buat tafsiran tentang negara kita berdasarkan
perkara itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal dalam laman
twitternya menyokong kenyataan Khan itu dengan berkata: "BJP tidak patut
sekat orang bersuara melalui penindasan dan ancaman."
Beliau dipetik saluran NDTV sebagai berkata, kini adalah masa yang tepat
bagi kerajaan pusat untuk mengambil langkah konkrit bagi menyemai rasa
selamat dalam kalangan rakyat.
India mempunyai lebih 1.25 bilion penduduk, hampir 16 peratus daripadanya beragama Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Aamir Khan dikecam melibatkan Agama"
Post a Comment