Nazim Othman mahu berlakon aksi

KUALA LUMPUR: Pelakon Nazim Othman, 31, sanggup berlakon secara percuma sekiranya karya yang ditawarkan menepati kriterianya.

Kecil atau besar watak tidak penting bagi bintang kacak ini asalkan naskhahnya berkualiti.
“Enam tahun dalam industri, saya belajar banyak benda dan masih meneruskan pembelajaran. Sebelum menerima tawaran, saya akan teliti semua aspek.

“Paling utama skrip. Sekiranya berkualiti dan kru produksi pun bagus, saya sanggup berlakon secara percuma walaupun hanya menggalas watak sampingan,” katanya.

Selain skrip, Nazim turut mementingkan barisan pelakon yang akan bergandingan dengannya.
“Dari situ saya dapat bayangkan bagaimana personaliti pelakon yang akan bergandingan dengan saya dan faham cara mereka menjiwai sesuatu watak.

“Ia secara tidak langsung buat saya lebih bersedia dan tahu bagaimana berinteraksi dengan mereka dalam lakonan,” katanya.

Kata Nazim lagi, kejayaan pelakon bergantung kepada semua pihak yang terbabit dalam pembikinan sesebuah karya.

“Pelakon tidak boleh berjaya tanpa bantuan orang lain. Kejayaannya dibentuk oleh persekitaran dan orang sekeliling seperti rakan gandingan, pengarah dan kru.

“Saya tidak kisah ditegur pengarah. Menerusi teguranlah saya akan tahu di mana kelemahan saya dan segera memperbaikinya,” katanya.

Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif bin Othman turut menegaskan anak seni perlu ada matlamat sekiranya mahu karier mereka berkembang.

“Sebagai pelakon sudah tentu saya ada sasaran yang ingin dicapai dan setiap orang ada cara tersendiri merealisasikan apa yang mereka mahukan.

“Matlamat saya mahu dikenali sebagai pelakon versatil. Saya teringin tampil sebagai pelakon aksi, tetapi kebanyakan penerbit beranggapan saya tidak sesuai dengan watak sebegitu.

“Kalau tak cuba macam mana nak tahu boleh atau tidak. Saya mahu keluar daripada kepompong dengan melakonkan watak berbeza daripada sebelum ini.“Harap ada pihak sudi beri saya peluang selepas ini,” katanya.

Selain itu, Nazim yang ditemui pada acara pertunjukan fesyen dan pelancaran koleksi terbaru Lord’s Tailor di Kuala Lumpur Performing Arts Center, baru-baru ini juga turut bercerita mengenai drama terbaru berjudul Cinta Teruna Kimchi yang menuntutnya bertutur dalam bahasa Korea.

“Drama slot Zehra TV3 ini menemui penonton Januari tahun depan. Selain saya, drama ini turut dibintangi Nur Risteena, Sari Yanti, Johan As’ari dan ramai lagi,” katanya.

Drama Akulah Balqis lakonannya kini hangat bersiaran di slot Akasia TV3 dan mendapat maklum balas positif penonton.

0 Response to "Nazim Othman mahu berlakon aksi"

Post a Comment