KUALA LUMPUR: Selepas mengesahkan hubungan cintanya bersama pelakon dan pengacara, Qi Razali terputus di tengah jalan, aktres cantik Nelydia Senrose dilihat matang berhadapan dengan situasi sukar itu.
Meskipun bukan lagi pasangan kekasih, Nelydia menafikan mereka bermusuhan atas perpisahan yang berlaku, malah lebih terbuka untuk menjalinkan hubungan persahabatan.
“Seperti apa yang pernah saya katakan sebelum ini, walaupun kami tidak lagi bercinta, tapi kami masih berkawan dan tidak ada istilah bermusuh atau bermasam muka.
“Kami masih boleh berjumpa, cuma masing-masing tahu batas sebagai seorang kawan dan tidak lebih daripada itu.
“Kalau sudah tertulis kami ada jodoh, mungkin akan ada satu hari nanti. Cuma buat masa ini saya tidak mahu terlalu memikirkannya.
Walaupun memandang positif dengan apa yang berlaku, Nelydia akui jauh dari sudut hatinya terdetik perasaan kesal atas perpisahan itu.
“Sebelum putus hubungan, saya berkongsi mengenai status kami dengan orang ramai dan pada masa yang sama ramai yang bertanya apakah langkah kami seterusnya.
“Bila saya tidak mahu komen, orang cakap saya tidak serius umpama ditelan mati emak, di luah mati bapak, jadi saya harus berhadapan dengan situasi itu dengan berkongsi serba sedikit perancangan kami.
“Dan sekarang, apabila hubungan kami terputus di tengah jalan, memang saya agak kesal, namun saya percaya kalau tidak ada jodoh, macam mana kita terus cuba pun tidak akan menjadi begitu juga sebaliknya,” jelasnya panjang lebar.
Manfaat usia muda
Enggan menjadikan kisah cinta sebagai satu fokus dalam hidupnya, Nelydia kini memilih untuk memanfaatkan usia mudanya dengan menyambung pengajian, selain menjalani karier seninya.
“Memang saya ada perancangan untuk menyambung pengajian tapi semuanya masih belum ditetapkan.
“Dalam usia yang muda inilah seharusnya saya manfaatkan masa yang ada dengan menuntut ilmu untuk lebih berkembang dengan perkara-perkara baharu.
“Saya mahu ambil kursus pendek selama enam bulan dalam jurusan Psikologi dan setakat ini saya sudah mengkaji beberapa universiti di London.
“Tapi perancangan itu sedikit terganggu dengan masalah nilai mata wang negara yang semakin merosot, jadi saya masih menanti waktu yang tepat untuk benar-benar membuat keputusan melanjutkan pengajian.
Berkongsi mengenai pengalamannya terlibat dengan lakonan super telefilem Strawberry & Karipap Hello Gold Coast, Nelydia berkata, biarpun ia hanya kisah mengenai kanak-kanak, namun masih ada cabarannya yang tersendiri.
“Sebenarnya dari segi watak, saya tidak ada masalah cuma dalam lakonan ini saya perlu melakukan babak yang memerlukan saya menaiki permainan ekstrem ‘batwing’ yang sangat menakutkan.
“Tambahan pula saya seorang yang takut dan gayat dengan ketinggian, tapi atas tanggungjawab sebagai pelakon, saya akur dan lakukan yang terbaik,” jelasnya.
Strawberry & Karipap Hello Gold Coast, arahan Nizam Zakaria akan mula bersiaran pada 26 November ini di Astro First Eksklusif saluran 480.
Selain Nelydia, ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Nin (Pak Su Hairi), Zizan Razak (Bro Z), Mia Sara (Nini) dan Rykarl Iskandar sebagai Haikal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Nelydia Senrose jaga hubungan baik Qi Razali"
Post a Comment