Farahdhiya bakat terserlah dalam GV2

SHAH ALAM: Entah di mana silapnya perjalanan seni nyanyian Farahdhiya sebelum ini bagaikan tidak menyebelahinya. Mula menceburi arena seni lebih sedekad, penyanyi berdarah campuran kelahiran Sarzana, Itali ini hanya diingati dengan lagu Bertakhta Di Hati sekitar 2004.

Beberapa lagu yang menyusul selepas itu seperti Kau Telah Pergi, Ku Tak Rela dan Yang KuPuja bagai berlalu sepi. Malah di saat dia dilihat tidak menyerlah di persada nyanyian di arus perdana, Farahdhiya memilih untuk berlakon. Katanya, tawaran berlakon itu datang seiring dengan populariti lagu Bertakhta Di Hati. Dari niat asal mencuba, minat berlakon itu terus berputik. Hinggakan khalayak bagai melupakan yang dia sebenarnya bermula sebagai penyanyi.

Bagi Farahdhiya, dia tak kisah jika orang melihat lagu Bertakhta Di Hati itu seperti lagu One Hit Wonder. Apa jua tafsiran orang, penyanyi yang mula berlakon telefilem pertama berjudul Mencari Arah Kiblat di TV3 itu tetap berterima kasih kepada lagu berkenaan yang menjadi permulaan yang indah buat kerjaya seninya.

Dan siapa sangka di saat nama dan tuahnya dalam nyanyian dipandang ringan, penyertaannya di dalam GegarVaganza musim kedua yang rancak dan hangat diperkatakan saat ini kembali menaikkan namanya. Kepada BH Online, Farahdhiya berkongsi kegembiraannya yang bagai membuka lembaran baharu kepada kerjaya nyanyian. "Saya rasa bagaikan bayi yang baharu dilahirkan dan tiba-tiba mendapat perhatian. Impak GegarVaganza 2 tak saya nafikan.

Ia platform terbaik. Ikutkan saya tak pernah berhenti menyanyi selama ini. Cuma yang orang nampak saya berlakon kerana produknya keluar TV. Hakikatnya saya masih menerima tawaran menyanyi secara tertutup termasuk untuk persembahan makan malam. "Jadi apabila saya tak menyanyi di depan khalayak, orang mula anggap saya sudah tidak lagi menyanyi.

Satu perkara yang bagus menyertai GegarVaganza ini ialah orang yang selama ini tidak tahu saya boleh menyanyi secara langsung sudah mula menilai bakat saya sebenarnya. Alhamdulillah, pertandingan ini umpama 'come back' dengan platform yang bagus," katanya teruja.

Menurut Farahdhiya selama masih menyanyi, dia tak pernah putus asa menghadiahkan single baharu buat peminat. Cuma tuah dan rezekinya untuk beberapa lagu yang dipromosikan sebelum ini berakhir dengan kedukaan dan didorong pelbagai faktor.

Ironinya, orang terus melihat penyanyi putih gebu ini hanya bersandarkan kepada lagu Bertakhta Di Hati semata-mata. "Saya tak pernah putus asa menyanyi. Cuma biasalah dengan senario biasa dalam dunia seni, saya sudah masak. Ada lagu yang dipromosikan tetapi tidak dimainkan di stesen radio.

Malah peluang nyanyi di majlis atau acara hiburan juga tak pernah diberi. Jadi apabila peluang ini tak ada, orang mula pandang saya sebelah mata seakan meragui bakat yang ada. "Tapi saya anggap apa yang terjadi selama ini sebagai bukan rezeki. Saya terimanya dengan hati terbuka. Saya anggap ia suratan yang menguji diri untuk jadi lebih kuat," katanya.

Mengenai GegarVaganza 2, Farahdhiya memberitahu dia menerima tiga panggilan daripada pihak produksi Astro untuk mengajaknya turut serta dalam tahun ini. "Tak silap dan tak sia-sia percaturan saya bersetuju untuk menyertai pertandingan ini selepas kali ketiga dihubungi.

Kebetulan ada syarikat rakaman yang berminat untuk menyemarakkan kerjaya nyanyian saya dan salah satunya ialah Nova Music. Pihak Nova Music juga mahu saya menyertai pertandingan ini dan alhamdulillah semuanya bagai tersusun cantik. "Ketika kali pertama dihubungi Astro, saya bertanya pendapat bapa sama ada perlu turut serta atau tidak.

Bapa cakap tak perlulah kerana pertandingan sebegini boleh memberi tekanan kepada saya. Memang saya akan tertekan kalau menyertai pertandingan sebegini. Kali keduanya dihubungi Astro, saya sibuk dengan penggambaran drama," katanya yang minggu hadapan akan ke set penggambaran sebuah drama.

Pengaruh dan pengikut Farahdhiya di laman sosial turut meningkat gara-gara GegarVaganza 2. Jumlah 'likes' setiap gambar yang dimuat naiknya di laman Instagram contohnya juga meningkat mendadak. Daripada ratusan 'likes' kini sudah menjadi ribuan 'likes'. "Dalam tempoh sebulan pengikut dan peminat saya di laman bergambar popular, Instagram meningkat sekitar 50,000 orang. Daripada 100,000 kini pengikutnya sudah menjadi 157,000.

Saya juga meraih pengikut baharu. Ada yang selama ini tak suka saya berlakon watak jahat sudah mula meminati saya selepas pertandingan ini,"katanya.

0 Response to "Farahdhiya bakat terserlah dalam GV2"

Post a Comment