Penyanyi yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Zee Avi tampil
dengan single berbahasa Malaysia berjudul Arena Cahaya yang turut
dijadikan sebagai lagu tema filem OlaBola.
Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman, 28, berkata, dia menghasilkan
sendiri lagu berkenaan bersama sahabat baiknya, Rendra Zawawi hanya
dalam tempoh sebulan.
“Arena Cahaya ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris
bagi menggambarkan negara Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa. Saya
berharap agar lagu ini mampu memupuk semangat dan mengembalikan sorak
juang rakyat Malaysia.
"Saya dan sahabat baik saya Rendra Zawawi mengambil masa sebulan
menyiapkan lagu berkenaan termasuk susunan muziknya,” katanya kepada
mStar Online.
Ditanya mengenai kerjasama menghasilkan lagu berkenaan, Zee berkata, dia
dihubungi oleh pengarah OlaBola iaitu Chiu Keng Guan menerusi Facebook
untuk menghasilkan lagu tema filem berkenaan dan terus bersetuju tanpa
berfikir panjang.
"Saya berbesar hati dapat bersama-sama menjayakan projek ini dan Arena
Cahaya ditulis bukan sahaja untuk filem ini tetapi bagi menggambarkan
semangat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa," katanya.
Dalam pada itu, bercakap lanjut mengenai Arena Cahaya, Zee berkata, dia
mendapat ilham menulis lagu berkenaan daripada peristiwa sebenar pasukan
bola sepak negara ini.
Jelas Zee, dia ingin memaparkan semangat juang sebuah pasukan bola sepak
yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam kesungguhan mengharumkan nama
negara.
"Lagu ini dekat dengan masyarakat Malaysia dan saya ingin mengetengahkan
nilai-nilai perpaduan yang mampu mendorong rakyat Malaysia sama-sama
mencapai impian," katanya.
Sementara itu, Chiu berkata, sebagai pengarah dia berbesar hati dapat
bekerjasama dengan Zee yang telah menghasilkan sebuah lagu yang kena
dengan tema OlaBola.
Kata Chiu, pertama kali mendengar lagu berkenaan dia terpikat dengan melodi dan lirik ditampilkan.
"Saya kagum dengan bakat Zee yang cukup luar biasa kerana dapat
menghasilkan sebuah lagu yang cukup mantap untuk filem berkenaan.
"Hanya menyaksikan sedutan klip dari OlaBola Zee mampu menterjemahkan sentimen filem itu dengan baik," ujarnya.
OlaBola yang menampilkan barisan pelakon seperti JC Chee, Luqman Hafidz,
Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae dan Frankie Lee bakal menemui
penonton pada awal tahun hadapan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Zee Avi muncul dengan Arena Cahaya"
Post a Comment