Bront Palarae elak dilabelkan propa

KUALA LUMPUR: Tidak hanya soal peribadi, aktor Bront Palarae juga sangat berahsia ketika berbicara mengenai perkembangan karier seninya.

Masakan tidak, pemilik anugerah Aktor Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Asean 2015 (AIFFA 2015) ini dilihat lebih  berhati-hati apabila memperkatakan mengenainya.

Siapa sangka, dalam diam, Bront membintangi drama bersiri, Halfworlds terbitan HBO Asia di bawah telunjuk pengarah dari seberang, Joko Anwar.

“Selagi ia masih dalam perancangan atau perbincangan dan tiada hitam putih, saya lebih suka mendiamkan diri.

“Saya tidak mahulah mencanang sesuatu yang belum pasti akan menjadi milik saya lebih awal kerana lumrah hidup, macam-macam perkara boleh berlaku.

“Saya juga tidak mahu malu sendiri apabila sudah giat mencanang tetapi kesudahannya tidak ke mana. Projek berlakon yang saya banggakan itu bagaikan tiada perkembangannya.

“Jadi, dalam soal ini lebih baik saya mengambil sikap berdiam diri. Malah, jika apa-apa berlaku pun saya tidak malu sehingga dilabel pelakon ‘propa’,” katanya.

Tambahnya, apabila projek lakonan yang  dijanjikan itu selesai, barulah seronok mahu berkongsi cerita kepada umum.

Selain Bront, drama lapan episod ini turut dibintangi pelakon Indonesia seperti Reza Rahadian, Adinia Wirasti, Aimee Saras, Alex Abbad dan Ariffin Putra manakala seorang lagi pelakon Malaysia ialah Puteri Balqis.

Ia akan disiarkan menerusi saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431) mulai 29 November, jam 10 malam.

Puji pengarah Indonesia

Menceritakan pengalamannya bekerjasama dengan produksi dari negara luar, pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin ini mengakui selesa dengan cara layanan sama rata yang diberikan.

Meskipun agak janggal pada awalnya, kata Bront perasaan itu terhapus sebaik sahaja keserasian dan keselesaan terbina.

“Mereka sangat profesional. Bahkan, hubungan di antara pengarah dan pelakon juga rapat kerana masing-masing sering berbincang dan sedia bertukar pendapat.

“Saya sangat seronok bekerja di bawah bimbingan Joko. Tiada masalah di antara kami sewaktu bekerja.

“Bagi saya, biarpun berlainan negara tetapi nadinya tetap serumpun,” katanya.

Pada masa sama, bintang filem Terbaik Dari Langit ini mengakui sangat menitikberatkan mutu persembahan lakonan dan berusaha memberi yang terbaik.

“Saya akan melakukan yang terbaik dalam setiap karier lakonan saya.

“Saya tidak suka mengambil dua tiga kerja sekali gus, sebaliknya lebih senang menghabiskan kerja sedia ada sebelum menerima tawaran baru,” katanya.

Pun begitu, pelakon berusia 37 tahun ini tetap mengutamakan tawaran produksi tempatan.

“Sudah tentunya, setiap tawaran itu perlu hadir dengan plot cerita dan skrip yang bagus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bront juga dijangka akan bekerjasama sekali lagi dengan produksi dari Indonesia menerusi filem My Stupid Boss.

Kali ini,  pelakon filem Jwanita ini juga bakal digandingkan dengan Reza selain menampilkan turut penyanyi dan pelakon jelita,  Bunga Citra Lestari.

“Apa yang saya tahu, proses penggambaran akan dilakukan pada November ini dan karya itu juga diinspirasikan daripada kisah sebenar.

“Namun, bagaimana jalan ceritanya, saya hanya akan sedia berkongsi apabila filem ini sudah siap penggambarannya,” katanya mengakhiri perbualan.

0 Response to "Bront Palarae elak dilabelkan propa"

Post a Comment