Betul ke tunggu lamaran Fathia?

KUALA LUMPUR: Tahun lalu, kekasih Fathia Latiff iaitu Aiman Hakim pernah mengeluarkan kenyataan yang dia mahu menjadikan Fathia sebagai isterinya.

Akui Fathia ketika itu, dia memang gembira dengan perkhabaran itu, namun sehingga kini, kenyataan itu masih belum direalisasikan lagi oleh pasangan ini.

Menurut Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Latiff, 26, setakat ini hubungan mereka belum lagi mahu ke arah perkahwinan.

“Ucapan itu memang pernah diungkapkan, tetapi selagi tiada persediaan dilakukan, menyebabkan saya mahu fokus dahulu pada kerjaya.

“Impian untuk ke arah perkahwinan itu memang ada, bagaimanapun sehingga kini belum dijodohkan lagi untuk ke arah itu.

“Sejujurnya memang saya mahukan ke peringkat itu (kahwin), kerana hubungan kami juga sudah masuk empat tahun.

“Justeru itu, saya tidak mahu bazirkan masa jika akhirnya tiada apa-apa yang berlaku,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada sidang media teater Bawang Merah Bawang Putih, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fathia akui kesibukan mereka berdua juga penyebab hasrat itu masih belum tertunai.

“Masing-masing sibuk. Ketika saya kerja, dia tak kerja, bila dia kerja, saya pula tidak kerja. Justeru,  masa untuk duduk bersama merancang ke arah perkahwinan tidak ada.

“Saya juga jenis yang sukakan kerja, seperti wanita bekerjanya. Oleh itu untuk terjadinya perkara itu (perkahwinan) memang saya akui agak sukar ketika ini,” katanya.

Pelakon drama Diandra ini memberitahu yang dirinya sebolehnya mahu mengelak berlakunya seperti rakan artis lain di mana hubungan mereka putus di tengah jalan.

“Saya tidak mahu jadi seperti itu, jika saya dah suka seseorang, saya nak orang itu pun serius dengan saya. Namun belum masanya lagi. Buat masa sekarang saya suka bekerja. Apa sahaja tawaran kerja saya akan sambar.

“Keluarga tidak terlalu mendesak untuk saya ke peringkat itu, walaupun usia saya kini sudah sepatutnya mendirikan rumah tangga,” katanya.

Bimbang jadi Bawang Merah

Berkongsi pula mengenai persetujuannya memainkan watak dalam teater Bawang Merah Bawang Putih yang akan menemui penonton pada 3 hingga 8 Disember ini, Fathia berkata, ia pengalaman kedua yang harus diambilnya selepas teater Bidasari.

“Dalam teater kali ini, saya membawakan watak sebagai Bawang Merah justeru peluang saya terbuka semula untuk menunjukkan bakat lebih baik daripada persembahan Bidasari dahulu.

“Bila saya sudah dapat asas dalam teater Bidasari, teater kali ini saya mula dapat rentak dan rasa keyakinan itu sudah datang.

“Tambahan di bawah pengarahan Erma Fatima, cara arahannya membuatkan saya lebih bersemangat untuk melakukan dengan jayanya,” katanya.

Bagaimanapun, apa yang dirisaukan Fathia dalam teater klasik kali ini adalah mungkin tersilap menuturkan dialog.

“Oleh kerana bahasa yang digunakan adalah bahasa Melayu klasik, jadi saya takut jika tersebut bahasa Melayu sekarang.

“Namun saya sering berlatih dan melihat sendiri filem dan cerita Bawang Merah Bawang Putih ini yang pernah ditayangkan untuk mendapatkan gambaran,” katanya.

Keistimewaan teater itu juga bagi diri Fathia adalah dia akan menyumbangkan suara dalam beberapa lagu yang dimainkan ketika persembahan nanti.

“Saya akan menyanyi sendiri untuk beberapa lagu dalam teater ini, namun masih tidak tahu ia secara langsung atau rakaman,” katanya.

Dedah Fathia juga, selepas berakhirnya teater Bidasari, dia pernah rasa mahu mengundur diri dalam bidang pementasan.

“Saya takut dengan diri sendiri apabila tidak dapat buat sebaiknya dalam teater Bidasari. Ketika teater pertama saya itu, pergerakan saya banyak yang masih dikawal, sebab itu saya jadi takut.

“Tetapi Insya-ALLAH kali ini, saya akan perbaiki dengan bantuan kak Erma dan tenaga pengajar yang lain,” katanya.

Mengulas mengenai  perkembangan lakonannya, Fathia memberitahu, dia akan memulakan penggambaran drama bersiri Rumi Jawi pada Disember ini.

“Kini drama itu sudah disiarkan di televisyen, namun saya hanya akan muncul pada episod 11, di mana bulan hadapan akan menjalani penggambaran di Bosnia,” katanya.

0 Response to "Betul ke tunggu lamaran Fathia?"

Post a Comment