KUALA LUMPUR: Nama Ayda Jebat kini laris bukan saja dalam lakonan, juga semakin menjadi perhatian di pentas nyanyian.
Popularitinya dalam lakonan menyebabkan ramai yang lupa dia bermula di pentas Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9).
Kini singlenya, Siapa Diriku layak ke pentas saingan separuh akhir Muzik Muzik 30 yang bermula saingannya malam ini.
Ayda atau Nur Suhada Jebat yang ditemui pada sidang media separuh akhir Muzik Muzik 30, mengucap syukur kerana pemilihan Siapa Diriku ke separuh akhir.
Katanya, dia berusaha memberi persembahan terbaik dan mengharapkan lagu itu layak beraksi ke Anugerah Juara Lagu nanti.
“Seperti saya, semestinya semua penyanyi yang bertanding ke separuh akhir akan berharap perkara sama. Namun terserah pada rezeki dan saya hanya mampu menampilkan persembahan terbaik. Berada pada tahap sekarang pun, saya bersyukur.
“Saya sangat berterima kasih kepada peminat yang banyak memberi sokongan termasuk kerjasama baik diterima daripada media.
“Saya akui, takkan berada pada tahap sekarang tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak,” katanya.
Bintang drama Rindu Awak 200% ini turut berkongsi kegembiraan apabila drama itu merangkul anugerah Drama Rantaian Popular Media Sosial pada kemucak Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) pada 8 November lalu.
Katanya, jadual aktiviti seninya padat dan terlalu sibuk. Waktu sama, bersyukur kehadirannya dalam industri seni diterima baik.
“Saya berhati-hati dan enggan terkait dengan kisah sensasi. Saya mahu dikenali peminat melalui bakat dimiliki.
“Buat masa ini, fokus dan tumpuan saya pada karier. Jadi, banyak yang perlu diberi perhatian termasuk meningkatkan usaha,” katanya.
Kata Ayda, dia enggan memberi komen pada perkara tiada kena-mengena dengan karier seninya.
Ayda terharu mendapat peluang merakam semula lagu Sinaran nyanyian asal Datuk Sheila Majid untuk lagu tema filem Sinaran arahan Osman Ali.
Anak jati Melaka ini mengakui ia cabaran buatnya kerana masih baru dalam bidang nyanyian.
“Saya masih baru, apabila mendapat kepercayaan merakam semula lagu Sinaran, tentunya ini satu cabaran besar.
“Aura Sheila sebagai penghibur terkenal dan gaya nyanyiannya sebati dengan peminat. Jadi, saya tidak ambil mudah dengan tanggungjawab digalas,” katanya.
Lagu Sinaran dirakam semula Ayda turut diberi nafas baharu dalam susunan muzik lebih rancak dan moden oleh pengarah vokal, Alwyn Santiago dan jurutera muzik, Ian Koren.
Mengenai dirinya dikhabarkan dilamar untuk menjadi pengacara untuk program hiburan, Ayda tidak menafikan perkara itu.
“Sebenarnya, sebelum ini saya memang pernah dilamar untuk mengembangkan bakat seni dalam bidang pengacaraan tetapi terpaksa menolaknya.
“Bukan disebabkan tidak bersedia tetapi jadual lakonan saya padat. Komitmen pada lakonan menjadi keutamaan.
“Hingga kini, saya masih terima tawaran menjadi pengacara tetapi masih dalam perbincangan. Jadi, belum perlu diuar-uarkan,” katanya.
Meskipun penat dengan jadual aktiviti seninya, Ayda berkata, dia tidak merungut kerana ia adalah rezeki dan peluang tidak datang selalu.
“Saya suka bersikap positif. Bagi saya, setiap tawaran yang datang adalah penghargaan yang sangat bermakna.
“Ia kepercayaan banyak pihak kepada saya. Jadi, memandangkan seni adalah karier yang saya pilih maka perlu dihargai dengan baik.
“Apapun, saya bersyukur dengan rezeki dilimpahkan Tuhan ini. Justeru, terima kasih saya ucapkan atas sokongan diberikan,” katanya.
Meskipun masih ‘hijau’ dalam industri seni, Ayda berkata dia seorang yang suka belajar, gemar berbincang dan mudah menerima pandangan.
“Saya orang yang ceria dan mesra. Bahkan sentiasa bersedia menjalin kerjasama dengan penggiat seni yang berpengalaman.
“Mengenai kritikan juga, saya cuba menerima apa saja diberikan peminat sebaik mungkin. Bahkan, saya tidak mahu cepat melatah,” katanya.
Ayda juga bersedia berlakon filem dan turut menantikan peluang itu. Apa pun katanya, terserah pada rezeki.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Impian besar Ayda Jebat"
Post a Comment