Hikmah saya jaga arwah ibu - Siti Elizad

KUALA LUMPUR: Memulakan kerjaya lakonan 10 tahun lalu, pelakon, Siti Elizad gembira kerana sehingga kini peminat masih setia menyokongnya.

Kembali popular menerusi drama bersiri Teman Lelaki Upahan yang disiarkan di slot Akasia TV3, Mac lalu, wanita berusia 31 tahun itu tidak menyangka drama lakonannya mendapat sambutan menggalakkan.

Elizad yang pernah popular menerusi filem Berlari Ke Langit arahan Bade Azmi mengakui semua itu adalah rezeki. Dia yang pernah nekad berhenti berlakon berikutan menjaga arwah ibu yang sakit ketika itu menganggap semua yang berlaku ada hikmahnya.

Lebih ketara lagi, ke mana saja Elizad pergi ada saja kelompok peminat yang hadir menyokongnya seperti yang berlaku kepadanya ketika menyertai jelajah bas #dramasangat TV3 yang diadakan di pantai timur baru-baru ini, peminat sanggup datang dari Kuala Lumpur bagi menyokong pembabitannya dalam program itu.

“Sebagai pelakon saya memang tidak mahu mengharapkan diri ini sentiasa bimbang akan jatuh terus. Lalu saya memilih untuk berada di tengah-tengah supaya dapat terus konsisten. Justeru, saya tidak kisah apabila nama sedang berada di kemuncak, saya terpaksa melupakan sementara bidang lakonan kerana apa yang utama ketika itu adalah menjaga ibu.

“Apabila kembali semula dalam industri tanpa disangka drama lakonan saya itu mendapat sambutan. Mungkin itu semua kerana saya sanggup berkorban demi orang tua. Apa yang saya harapkan dapat menyampaikan watak dengan baik.

“Namun saya tidak berharap untuk terus berada di atas, bimbang nanti orang akan mengharapkan lebih daripada kemampuan diri kerana saya tahu sejauh mana bakat lakonan saya,” katanya.

Gembira dengan sokongan suami yang terus memberi ruang untuk aktif, Elizad baru saja selesai berlakon drama episod untuk slot Samarinda berjudul Aku Pilih Kami arahan Zul Huzaimy.

Memegang watak pembantu, Elizad tidak meletakkan berharap terus dapat berlakon dalam drama yang mengisi slot Akasia.

“Akasia adalah slot untuk memberi platform kepada muka baru di mana stesen TV yang akan pilih siapa pelakon mereka rasakan sesuai. Pada saya, ini adalah peluang yang perlu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh semua jika drama lakonan mereka disiarkan di slot itu.

“Jika berjaya mereka akan dikenali, namun terpulang juga kepada naskhah yang disiarkan,” katanya.

0 Response to "Hikmah saya jaga arwah ibu - Siti Elizad"

Post a Comment