Saya jadi pak guard tidak jadi masalah - Shah Rezza

KUALA LUMPUR: Pelakon era 80-an, Datuk Seri Shah Rezza menganggap watak pengawal keselamatan yang dilakonkannya dalam drama Tuan Anas Mikael  tidak merendahkan statusnya sebagai bintang senior dan seorang yang disegani.

Shah Rezza atau nama sebenarnya Raja Shah Zurin Raja Aman Shah, 54, yang juga Pengerusi Festival Fesyen Islam (IFF) berkata, sebagai seorang pelakon dia lebih teruja apabila diberi tanggungjawab untuk membawakan watak yang tidak berkaitan dengan diri dan kehidupannya di luar.

"Apa salahnya jadi pak guard? Bagi saya, melakonkan watak yang berlainan dengan diri kita adalah erti pelakon sebenar. Saya tidak kisah dan bersedia diberikan apa sahaja watak.

"Kalau dilihat sejak saya aktif sekitar 80-an pun watak saya hanya watak pembantu sahaja bukan watak-watak besar pun. Jika dikatakan tidak sesuai atau setaraf dengan kedudukan saya sekarang itu adalah silap kerana saya tidak pernah membezakan taraf kehidupan saya dengan orang lain," ujarnya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Zara Zya Akur Ada Pihak Tidak Gemar Lakonannya

Shah Rezza diminta mengulas tentang wataknya sebagai pengawal keselamatan bernama Pak Hamid dalam drama Tuan Anas Mikael di Astro Ria. Drama itu disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam.

Drama adaptasi novel tersebut diterbitkan oleh Pena Creative Pictures Sdn Bhd milik Ziela Jalil dan diterajui oleh Aaron Aziz, Zara Zya, Raja Ilya dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Sementara itu, Shah Rezza berkata, drama tersebut merupakan antara drama yang dilakonkannya selepas mengambil keputusan untuk aktif semula dalam industri seni tahun lalu.

"Filem terakhir saya tahun 1989 iaitu Hati Bukan Kristal, selepas itu saya sibuk dengan perniagaan, namun ada juga berlakon sedikit-sedikit. Cuma kebelakangan ini sahaja saya lebih aktif bermula dengan drama Kusinero Cinta tahun lalu.

"Kemudian saya terima tawaran drama Mr London Ms Langkawi dan telefilem Cinta Kasidah tapi belum ditayangkan lagi," ujarnya.

Dalam pada itu, Shah Rezza berkata, tiada isu tentang dia merendahkan tarafnya apabila membawakan watak tersebut berikutan keputusan memasuki dunia seni ketika usia 14 tahun lalu juga langkah yang dipilih untuk tidak menonjolkan statusnya sebagai kerabat diraja dari Kelantan.

Katanya, ketika itu, dia tidak mahu memakai nama sebenar bagi mengelakkan rasa pilih kasih segelintir pihak terhadap dirinya.

"Pada usia 14 tahun ketika itu saya duduk di Istana Negara, saya minta untuk menceburi bidang peragaan dan seni dan ibu saya nasihatkan agar tidak guna nama sebenar.

"Saya mahu dikenali dengan nama Shah Rezza sahaja supaya kawan-kawan dan orang sekeliling saya tidak memberikan kelebihan kepada saya hanya kerana saya kerabat diraja," ujarnya.

Dalam pada itu bercerita tentang kemunculan semula dalam dunia lakonan, Shah Rezza berkata, ia adalah peluang baginya untuk bekerjasama dengan pelakon-pelakon baharu.

"Saya gembira dapat peluang berlakon kembali dan kali ini bergandingan pula dengan pelakon-pelakon baru yang popular seperti Zul Ariffin dan Aaron Aziz.

"Sejak kembali aktif memang banyak tawaran yang datang bukan sahaja produksi milik kawan-kawan, malah ada yang saya tidak kenal. Saya tidak sangka pula orang sedar kewujudan saya walaupun ia hanya watak-watak kecil sahaja," ujarnya.

Selain itu, Shah Rezza berkata, dia terpaksa membahagikan masa lakonannya dengan penganjuran Festival Fesyen Islam (IFF) yang kini sudah memasuki tahun kesepuluh.

Festival tersebut bakal berlangsung pada 7 hingga 9 Disember ini di Hotel Le Meridien.

0 Response to "Saya jadi pak guard tidak jadi masalah - Shah Rezza"

Post a Comment