Nelydia Senrose bercadang melanjutkan pelajaran di London

KUALA LUMPUR: Pelakon Nelydia Senrose rancang ingin mengambil kursus jangka pendek dalam bidang psikologi di  London dalam masa terdekat ini.

Nelydia atau nama sebenarnya  Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 21, berkata sudah tiba masanya untuk dia memberi sedikit masa untuk fokus dalam pelajaran bagi menambah ilmu pengetahuannya.

"Saya masih muda dan banyak perkara yang harus diterokai.Saya tak mahu masa banyak dihabiskan dengan kerja-kerja lakonan sahaja.

"Lagipun bidang psikologi banyak kegunaannya dimana saya dapat berkomunikasi dengan baik dan dapat memahami orang disekeliling saya ketika bekerja,"katanya kepada mStar Online.

Nelydia ditemui pada majlis pra tonton supertelefilem Strawberry & Karipap Hello Gold Coast di The Gardens Theatre di sini pada Rabu.

Bagaimanapun tambah adik kepada aktres Uqasha Senrose itu, dia masih lagi memilih masa yang sesuai memandangkan mata wang luar negara agak tinggi.

Sementara itu, mengenai Strawberry & Karipap, Nelydia berkata, agak mudah dia menghayati wataknya sebagai Aunty Lisa bersama barisan pelakon lain iaitu Zizan Nin (Pak Su Hairi), Zizan Razak (Bro Z), Mia Sara (Nini) dan Rykarl Iskandar sebagai Haikal, memandangkan ia merupakan kesinambungan supertelefilem Strawberry & Karipap Sesat Kat Paris.

Bagaimanapun, kata Nelydia dia melalui pengalaman mencabar di lokasi Warner Bro's Movie World di mana terpaksa melakonkan adegan menaiki beberapa permainan yang menakutkan.

"Saya, Zizan Nin dan Zizan Razak perlu melakonkan salah satu babak di mana kami perlu bermain permainan yang menggerunkan dipanggil Batman.

"Sampaikan saya nangis ketika menjalani penggambaran tersebut. Luruh jantung dibuatnya," ujar Nelydia.

Strawberry & Karipap Hello Gold Coast, arahan Nizam Zakaria  akan mula bersiaran  pada 26 November 2015 di Astro First Eksklusif saluran 480.

0 Response to "Nelydia Senrose bercadang melanjutkan pelajaran di London"

Post a Comment