Ummi Nazeera mahu besarkan perniagaan ibu tercinta

KUALA LUMPUR: Bakatnya dalam dunia lakonan memang tak boleh dipertikaikan lagi. Suatu ketika dahulu, Ummi Nazeera antara yang digeruni lakonannya.

Beberapa tahun lalu, saat dia menemui cahaya dalam hidup yakni memilih untuk bertudung menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya, pelakon ini pernah dilihat seperti mahu terus menjauhi dunia lakonan atau lebih tepat timbul tanggapan seperti mahu bersara daripada bidang itu.

Ketika filem Penanggal ditayangkan sekitar dua tahun lalu, pelakon utamanya Ummi Nazeera, 25, mengambil sikap `lari' seketika daripada dunia seni. Ketika itu Ummi dikatakan masih mencari diri dan lebih dekat dengan agama.

Saat menyepi seketika, Ummi sebenarnya turut sibuk melunaskan baki pengajian di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Melbourne, Australia. Selepas sekian lama 'menghilang, Ummi mengakui terpaksa mengambil masa dan berfikir panjang sebelum benar-benar bersedia untuk kembali ke dunia hiburan.

Kini pelakon drama Nur Kasih itu kembali mewarnai persada seni termasuk diuruskan syarikat Uprising Entertainment. Memulakan karier lakonan seawal usia 16 tahun, kini dunia lakonan tidak lagi dilakukan sekerap dahulu.

Sebaliknya, Ummi yang kini membintangi drama Alif Imani di TV9 menjelaskan, dia mahu mengembangkan skop perniagaan ibunya. "Saya memang tak pernah akan berhenti dalam dunia seni. Seni masih bertakhta dalam diri. Saya bangga menjadi anak seni.

Cuma kini ada beberapa faktor lain yang saya perlu utamakan untuk tidak berlakon sepanjang tahun. Ada juga pelakon lain seperti Fazura dan Lisa Surihani yang muncul hanya dengan beberapa produk seni sahaja dalam setahun. Saya juga mahu begitu saat ini. "Benar masa berehat sekejap dahulu, saya mencari diri. Alhamdulillah kini saya kembali.

Cuma untuk berlakon tanpa henti itu tidaklah lagi. Saya pun belajar perniagaan dan mahu menceburi bidang berkenaan.

Saya juga nak bantu apa yang patut dengan ilmu dan praktikal yang dipelajari sekali gus mengembangkan perniagaan ibu saya," katanya sambil memberitahu perniagaan yang diusahakan ibu termasuklah dalam bidang perkilangan, perabot dan fabrik.

0 Response to "Ummi Nazeera mahu besarkan perniagaan ibu tercinta"

Post a Comment