KUALA LUMPUR: Penyanyi Elizabeth Tan tidak berkecil hati apabila segelintir pihak mempertikaikan kredibiliti vokalnya apabila lagu Knock Knock mara ke peringkat separuh akhir program Muzik-Muzik.
Elizabeth sebaliknya berkata, dia sedar kemampuan vokalnya tidak setanding penyanyi terkenal lain namun dia sentiasa mencari ruang memperbaiki mutu nyanyiannya.
"Saya tidak berkecil hati dengan komen sebegitu kerana ia membuatkan semangat saya terus membara untuk memperbaiki diri sendiri.
"Malah kata-kata berkenaan ada kebenarannya kerana masih banyak ruang yang perlu saya perbaiki terutamanya dari segi teknik nyanyian," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Elizabeth berkata, mentornya, penyanyi dan komposer Faizal Tahir sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepadanya berkaitan kariernya.
Jelasnya, Faizal sentiasa mendengar pandangan dan idea baharu selain menjadi pengkritik setia kepada kerjaya seninya.
"Faizal seorang yang sangat sibuk dengan kariernya namun sebagai mentor dia sentiasa membuka ruang untuk saya menceritakan masalah atau meminta pandangan daripadanya.
"Banyak nasihat berguna diberikan kepada saya sepanjang bergelar penyanyi dan saya bersyukur dapat berada dibawah bimbingannya," ujarnya.
Sementara itu, Elizabeth berkata, menyedari dengan kehendak pendengar dia akan mengekalkan genre pop menerusi single terbaharunya pada masa akan datang.
Jelasnya, biarpun menggemari jazz namun dia harus akur dan bersikap realistik terhadap trend muzik masa kini.
"Saya tidak boleh bersikap 'syok sendiri' dan perlu memahami kehendak penggemar muzik dan genre pop lebih diterima ramai.
"Bagaimanapun pada tahap ini saya sebenarnya masih bereksperimen dan tidak mahu menghadkan kepada muzik pop sahaja.
"Malah lagu baharu saya nanti akan berkonsepkan pop rancak dan ia sesuatu yang baharu untuk saya," ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Elizabeth Tan tidak berkecil hati vokal dikritik"
Post a Comment