De Fam terasa gementar dipentas ASK

KUALA LUMPUR: De Fam mengakui kekurangan persembahan mereka di pentas Anugerah Skrin di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini pada 8 November lalu.

Menolak dakwaan mempertaruhkan rupa paras untuk menapak dalam industri seni tempatan, kumpulan itu meminta diberikan peluang untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang nyanyian.

Seorang anggota kumpulan itu, Azira Shafinaz Ramlan, 24, berkata mereka bertekad menyuntik elemen segar untuk peminat muzik tanah air. "Sejujurnya kami memohon maaf kerana terlalu gugup ketika membuat persembahan di ASK baru-baru ini.

Memang kami biasa membuat persembahan di pentas namun buat pertama kalinya kami tampil sebagai penyanyi utama. "Kebiasaannya kami beraksi di pentas sebagai penari.

Berilah peluang kepada pendatang baru seperti kami untuk mengenegahkan bakat sebagai penyanyi. Kami dimaklumkan mengenai hal itu oleh rakan dan keluarga yang turut menonton persembahan kami pada malam itu. "Pucat lesi wajah kami sehingga terlupa kedudukan masing-masing seperti yang dirancang semasa sesi latihan.

Kami akan memperbaiki kelemahan kami dan menerima kritikan yang diberikan untuk perkembangan kerjaya pada masa depan," katanya. Selain Azira, De Fam dianggotai Sophiatul Liana Mohamed Sobri, 25, dan Nurshazwani Shamsuddin (Manggis), 26. Bermula sebagai penari kumpulan Funky Fresh, mereka tampil dengan single berjudul #Supergirls dan lagu yang dimuat naik dalam laman perkongsian video YouTube itu sudah mencecah lebih dua juta tontonan.

Tiga sahabat baik yang bernaung di bawah pengurusan Tune Studios itu bakal tampil dengan single terbaharu berjudul With You kolaborasi bersama penyanyi luar negara, Brandon Beal.

Single itu akan dilancarkan di platform digital pada 14 Disember ini. "Kami akan merakamkan klip video single terbaru itu di The Banjarang Hot Spring, Ipoh esok. Bekerjasama dengan penyanyi dan komposer antarabangsa, Brandon adalah satu peluang keemasan buat kami bertiga.

Terasa diri begitu kerdil jika dibandingkan dengan nama besar seperti Brandon," kata Manggis. Dalam perkembangan lain, De Fam merancang mengambil kelas nyanyian bersama Cikgu Shafie bagi membuktikan mereka serius dalam kerjaya nyanyian dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan semua pihak.

0 Response to "De Fam terasa gementar dipentas ASK"

Post a Comment