Sharnaaz Ahmad impikan ke Hollywood

KUALA LUMPUR: Tidak sekadar di Malaysia, aktor kacak, Sharnaaz Ahmad turut berhasrat meluaskan karier lakonannya ke Hollywood, suatu hari nanti.

Mengakui ada menghadiri beberapa uji bakat, pemilik nama sebenar Sharnaaz Basir Ahmad ini bagaimanapun enggan bercerita lebih lanjut mengenai perkara itu.

“Saya mahu ke Hollywood. Malah, saya juga ada menghadiri beberapa uji bakat tapi saya tak mahu beritahu produksi mana. Rahsia.

“Nantilah dulu, sebab masih terlalu awal untuk dikongsikan kepada umum.

“Jika saya dapat peluang itu, semestinya saya tidak akan sia-siakannya sebaliknya saya akan buat sehabis baik,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Skrin 2015 (ASK2015).

Pada masa sama, pelakon berusia 30 tahun ini mengakui agak cerewet memilih naskhah sama ada drama mahupun filem.

“Bukan kerana saya mahu menjaga taraf sebagai pelakon semata-mata. Tetapi, saya mahukan sebuah karya yang berkualiti bukan saja untuk penonton tempatan bahkan mampu dibawa untuk tontonan ke luar negara pada masa akan datang,” katanya.

Kejayaan pertama ASK

Sementara itu, pelakon yang popular menerusi drama bersiri, Bukan Kerana Aku Tak Cinta ini melahirkan perasaan syukurnya apabila diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem menerusi filem Gila Baby di ASK2015.

Malah, Sharnaaz juga menyifatkan kegigihannya berlakon dalam filem itu ternyata berbaloi.

“Terlalu banyak cabaran yang terpaksa saya tempuhi sepanjang menjalani penggambaran filem ini.

“Bukan senang berlakon dalam Gila Baby apatah lagi pengarahnya, Khabir Bhatia mempunyai idea yang pelik-pelik.

“Malah, saya terpaksa memakai seluar dalam sahaja bagi salah satu babak dalam filem itu. Berbaloi juga saya tebalkan muka tampil tanpa pakaian.

“Agak seganlah juga tetapi gara-gara dipaksa, saya buat jugalah. Tetapi, apabila sudah menang, rasa berbaloilah,” katanya sambil tertawa.

Tambahnya, ini adalah kejayaan pertamanya dalam ASK.

“Kalau nak diikutkan, setiap tahun saya ada tercalon. Tapi, sekali pun tak pernah menang (ketawa). Tetapi, tak sangka pula kali ini, saya menang bagi kategori filem sebab sasaran saya adalah kategori drama. Lagipun saya memang tak banyak berlakon filem.

“Alhamdulillah, akhirnya saya raih kejayaan pertama dalam ASK,” katanya.

0 Response to "Sharnaaz Ahmad impikan ke Hollywood"

Post a Comment