KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun tanpa sebarang produk dalam bidang nyanyian, Ayda Jebat muncul dengan single sulung Siapa Diriku.
Ingin meneruskan kecemerlangan dalam bidang itu, heroin drama Rindu Awak 200% ini tampil dengan lagu rakaman semula berjudul Sinaran dendangan asal Datuk Sheila Majid.
Lagu Sinaran turut diangkat sebagai lagu tema filem baru arahan Osman Ali yang menggunakan judul sama.
Menceritakan pengalaman rakaman Sinaran, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 23, mengakui sukar membawa lagu itu.
“Bukan mudah menyanyikan lagu yang pernah dirakamkan seorang bintang legenda. Tambahan pula lagu itu ada aura kuat jadi saya terikut-ikut dengan penyampaian penyanyi asal,” katanya.
Meminati Sheila sejak kecil, Ayda berkata, lagu Sinaran diberikan susunan baru dan lebih rancak.
“Saya tiada masalah menghafal lirik kerana menggemari lagu itu sejak kecil. Atas bantuan pengarah muzik, saya dapat menyempurnakan rakaman itu dengan baik,” katanya.
Menurut Ayda, sebelum ini, memang ada cakap-cakap untuk memintanya membuat rakaman semula lagu Sinaran, namun tidak menyangka ia betul-betul menjadi.
“Tawaran itu sudah lama dan terkejut apabila mendapat tarikh untuk membuat rakaman lagu Sinaran.
“Kemudian, Osman memberitahu dia mengarahkan filem Sinaran ketika terjumpa dengannya baru-baru ini. Namun dia tidak menceritakan secara terperinci mengenai karya itu,” katanya.
Tak mahu tolak rezeki mengenai perkembangan karier lakonannya pula, Ayda kini sibuk menjalani penggambaran drama baru TV3, Menongkah Kasih.
Pada masa sama, dia turut terbabit dengan penggambaran drama arahan Micheal Ang, Sesal Separuh Nyawa yang dijangka bersiaran di HyppTV, Januari tahun depan.
Dalam kesibukan mengimbangi masa dengan karier lakonan dan nyanyiannya, Ayda enggan menolak sebarang tawaran projek kerana menganggapnya sebagai rezeki.
“Saya belum mempunyai perancangan untuk mengambil cuti rehat kerana masih mahu mengembangkan nama dalam industri seni tanah air,” katanya.
Malah, pelakon itu mendedahkan sudah beberapa bulan tidak pulang kampung di Melaka kerana terlampau sibuk.
“Kali terakhir saya bertemu dengan keluarga ialah pada Aidilfitri lalu dan walaupun berjauhan, mereka sentiasa dalam ingatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ayda mendedahkan bakal mengeluarkan single kedua pada tahun depan.
“Rakaman dijangka dilakukan pada tahun ini. Akibat terlalu memikirkan mengenai lagu baru menyebabkan saya sukar tidur malam.
“Namun, saya perlu berhati-hati memilih lagu kerana mahu karya itu meninggalkan impak seperti single Siapa Diriku,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Ayda Jebat sukar bawa lagu sinaran"
Post a Comment