Pegawai Bank lihat keadaan Rozana Misbun dalam keadaan teruk

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini pada Isnin diberitahu, bekas isteri Awie iaitu Rozana Misbun datang ke sebuah bank untuk melakukan pengeluran wang di kaunter dalam keadaan hidung berdarah.

Zaila Zahid yang merupakan pegawai bank Alliance cawangan Ampang berkata, dalam kejadian pada 2 Jun 2014 itu, Rozana yang ditemani pemandunya, Khayrul Anwar hadir untuk membuat pengeluaran wang berjumlah RM29,650.

"Ketika Rozana datang ke kaunter, saya lihat dia sedang menutup muka dan hidungnya. Dan apabila dia menandatangani borang pengeluaran wang, saya nampak hidungnya berdarah. Saya pun tanya, kenapa? Dan dia hanya menjawab 'Shhh..." katanya.

Zaila, 44, selaku saksi pendakwa memberi kenyataan itu semasa pemeriksaan balas kes pukul melibatkan penyanyi Awie terhadap Rozana.

Tambah Zaila, ketika itu dia tidak mengesyaki apa-apa dan meminta Rozana untuk segera ke klinik kerana risau sekiranya wanita itu tidak sihat.

Kata Zaila, ketika sedang menguruskan kerja-kerja pengeluaran wang, Awie pula muncul dan mengambil wang berkenaan ketika ia diletakkan di atas kaunter.

"Selepas saya menguruskan kerja-kerja pengeluaran duit, Awie muncul dan mengambil duit yang saya letakkan di atas kaunter.

"Kemudian saya juga melihat seperti ada darah pada telinga Rozana," ujarnya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Reen manakala defenden iaitu Awie diwakili peguam Hazman Harun.

Mengikut fakta kes, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun tahun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana, Hulu Kelang di sini.

Pendakwaan terhadap Awie dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rozana tidak muncul pada perbicaraan kesnya ini kerana perlu hadir bagi kes melibatkan hak jagaan anak di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dekat sini.

Majistret, Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan perbicaraan disambung pada 12 Januari 2016.

0 Response to "Pegawai Bank lihat keadaan Rozana Misbun dalam keadaan teruk"

Post a Comment