Dapat Dedah Watak Dalam Star Wars Pelakon Indonesia

INDONESIA: Tiga bintang Indinesia, Iko Uwais, Yayan Ruhiyan dan Cecep Arif Rahman lega akhirnya dapat bercerita mengenai watak yang dimainkan mereka dalam filem "Star Wars: The Force Awakens" setelah filem yang ditunggu-tunggu itu membuka tirainya di Jakarta, pada Selasa.

Ketiga-tiga mereka memegang watak anggota geng Kanjiklub, iaitu sebuah organisasi jenayah antara galaksi yang diketuai Tasu Leech dalam edisi ketujuh siri popular "Star Wars" itu.

Memetik laporan Jakarta Globe, Yayan yang memainkan watak Tasu Leech mula terlibat dalam projek itu dua tahun lalu.

"Kami hanya diberi kebenaran bercakap mengenai filem ini dua hari lalu," kata Yayan kepada Antara pada tayangan perdana filem itu di pusat beli belah bandar Senayan di Jakarta.

Cecep memberitahu biarpun wataknya tidak mempunyai dialog tetapi pasukan kreatif "Star Wars" mencipta bahasa khusus bagi anggota Kanjiklub itu.

"Krew itu begitu ramah dan banyak membantu. Jadual penggambaran sebenarnya adalah ketika bulan Ramadan dan ketiga-tiga kami sedang berpuasa. Itu adalah bulan puasa paling mencabar bagi saya kerana kami tidak dapat makan atau minum lebih 19 jam. Tetapi krew kami sentiasa memastikan makanan tersedia apabila tiba masa berbuka," katanya.

Iko, yang memegang watak Razo Quin-Fee pula berkata dia cukup seronok bekerjasama dengan pengarah filem tersohor, J.J. Abrams.

Iko dan Yayan yang merupakan artis seni pertahankan diri profesional menempuh nama apabila berlakon dalam filem "The Raid" dan "The Raid 2" yang turut dibintangi Cecep.

Abrams dikatakan merupakan peminat filem "The Raid" arahan Welshman Gareth Evans.

0 Response to "Dapat Dedah Watak Dalam Star Wars Pelakon Indonesia"

Post a Comment