Azrel semakin popular

KUALA LUMPUR: Memulakan kembara seni lakon tahun lalu, nama Azrel Ismail, 30, kini semakin menjadi sebutan. Walaupun baru membintangi beberapa drama, sudah ada yang mengenalinya jika berada di tempat awam.

Katanya, dia mula menyedari perubahan itu selepas berlakon drama Syurga Nur apabila melihat ada pertambahan pengikut di Instagram miliknya.

“Dulu saya privasikan akaun Instagram saya tetapi sekarang tidak lagi. Ketika itu bagi saya Instagram itu hanya untuk saya, keluarga dan rakan tetapi selepas berlakon Syurga Nur, saya melihat ramai yang menghantar permintaan menjadi pengikut laman sosial itu.

“Saya ambil keputusan membiarkan Instagram boleh dilihat dan diikuti semua peminat. Tambah pula saya boleh jadikan ia sebagai tempat berkongsi projek baru dengan peminat.

“Dibandingkan laman sosial lain, saya rasa ketika ini Instagram adalah tempat paling mudah untuk saya hebahkan semua projek baru,” katanya.

Mengenai ada artis membuat dua akaun Instagram semata-mata untuk menjaga kehidupan peribadi dan khusus bagi keluarga dan satu lagi peminat, Azrel melihatnya dari sudut berbeza.

Katanya, setakat ini dia tidak mempunyai masalah menggunakan satu akaun untuk semua orang.

“Saya percaya mana-mana selebriti membuat dua akaun laman sosial mempunyai sebab masing-masing. Namun bagi saya belum ada keperluannya dan saya juga tidak mempunyai apa-apa isu yang perlu disembunyikan daripada peminat.

“Kalau pun saya muat naik gambar dengan teman wanita dan tidak mahu orang tahu, buat sajalah kapsyen bersahaja. Tambah pula saya juga akan muat naik gambar saya dengan rakan wanita lain. Keadaan itu akan membuatkan cerita cinta saya tidak terlalu ketara di mata peminat,” katanya.

Kata Azrel, dia tiada masalah dengan mereka yang mahu buat lebih dari dua akaun kerana itu hak mereka.

“Mungkin mereka ada sebab iaitu tidak mahu mencampur-adukkan peribadi dan kerjaya. Mungkin satu akaun untuk gambar yang bersifat lebih peribadi manakala akaun lain untuk berinteraksi dengan peminat,” katanya.

Pernah menyertai pertandingan Lelaki Maskulin 2010, Azrel dulu aktif sebagai model iklan komersial, akui berlakon dalam Fajar Di Bukhara membuka pintu hatinya untuk menjadikan lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa.

Drama pertama dibintanginya membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang ini. Namun selepas Syurga Nur, tidak ada lagi drama lakonan membabitkan dirinya.

Situasi itu membuatkan peminat sering bertanya mengenai projek barunya. Dia akui ketika itu timbul rasa takut andai nama yang mula dibina mula hilang dengan ketiadaan produk baru.

“Memang saya takut pertanyaan itu diajukan kerana saya masih baru. Tanpa drama baru, saya mungkin dilupakan.

“Normal apabila orang bercakap mengenai seorang pelakon hanya apabila drama mereka ditayangkan. Apabila drama baru menggantikan drama sebelum ini, tumpuan penonton terhadap seseorang selebriti juga akan berubah.

“Tapi saya ambil inisiatif untuk sering mengemas kini laman sosial sebagai berita bahawa saya akan muncul dengan produk baru. Saya juga akan menyertai mana-mana program supaya peminat sentiasa ingat saya ada dalam industri,” kata nya.

Katanya, disiplin diri juga memainkan perkara penting. Dia percaya sikap itu mampu membawa seseorang pergi lebih jauh sebagai pelakon.

“Apabila berada di lokasi, disiplin adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan. Disiplin sa­ngat penting terutama untuk pelakon baru.

“Apabila kita menjaga disiplin, sama ada kru penggambaran, pengarah mahu pun pelakon yang berlakon sama dengan kita akan bercerita mengenai kebaikan kita.

“Dengan cara itu, ia akan membuatkan seseorang itu disenangi dan syarikat penerbitan juga akan yakin mengambil kita untuk berlakon dalam drama terbitan mereka,” katanya.

Kata Azrel, dia baru selesai menjalani penggambaran drama Gondola Cinta Di Venice. Dia kini sibuk dengan penggambaran telefilem Sekeras Tembok Coliseum dan juga mempunyai komitmen dengan drama Bodyguard dan Isteri VS Tunang.

“Semua drama itu bakal ditayangkan tahun depan bermula Februari. Insya -Allah peminat akan melihat saya di TV sepanjang tahun.

“Saya harap drama lakonan saya tahun depan dapat membantu mengukuhkan nama saya dalam industri,” katanya.


0 Response to "Azrel semakin popular"

Post a Comment