KUALA LUMPUR: Walaupun sudah lama berkecimpung dalam industri lakonan, namun pelakon
Pekin Ibrahim dilihat agak kurang muncul di skrin televisyen atau di
layar perak.
Akui situasi itu, Pekin menegaskan, sejak awal kemunculannya lagi dia
sememangnya bersikap selektif dalam menerima tawaran lakonan.
“Saya memang sangat memilih untuk berlakon, termasuk dalam drama boleh dikira berapa sahaja saya beraksi.
“Bagi saya, berbaloi sekiranya watak yang saya pilih mendatangkan kesan berbeza kepada diri saya dan juga penonton.
“Watak pula, saya suka yang agak pelik dan jarang dimainkan kerana ia
menerbitkan kepuasan emosi diri sendiri,” katanya kepada Zass.
Pelakon Juvana 2 ini juga berkata, dia lebih teruja untuk membintangi
watak yang dirasakan berbeza dan punya impak yang besar terhadap karier
seninya.
“Saya berlakon bukan kerana duit semata-mata bagi saya. Tetapi kualiti
lakonan itu yang saya utamakan yang secara tidak langsung memberikan
pengalaman baharu untuk mempertingkatkan lagi mutu lakonan.
“Sekiranya saya ambil sahaja watak yang ditawarkan, di mana ia biasa
dimainkan oleh pelakon lain, pastinya ia tidak akan lari dari diri
sendiri.
“Justeru, saya suka mencari sedikit perbezaan dalam memainkan watak,
agar penonton juga berpuas hati dengan lakonan yang saya bawa,” katanya.
Dalam bersikap selektif, pelakon yang berasal dari Kelantan ini sudah
membintangi hampir 14 buah filem dan kini mula berkecimpung dalam bidang
pengarahan.
Sebagai permulaan, Pekin mempertaruhkan filem Mat Moto yang bakal ditayangkan pada 14 Januari depan.
“Sebagai pengarah baharu memang banyak cabaran perlu dilalui namun
berkat bantuan rakan produksi, secara tidak langsung memudahkan kerja
pengarahan saya.
“Namun, saya tidak akan tinggalkan bidang lakonan kerana saya cintakan
bidang tersebut. Cuma saya terpaksa kurangkan sedikit demi memberi
laluan terhadap pengarahan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Bukan kerana wang yang saya kejar - Pekin Ibrahim"
Post a Comment