Tiada lagi sumber untuk dirujuk perfileman tanah air - Umie Aida

KUALA LUMPUR: Aktres Datin Paduka Umie Aida menyifatkan pemergian Allahyarham Seniwati Mariani Ismail sebagai satu kehilangan yang besar pada dunia perfileman tanah air erana seniwati itu sering menjadi rujukan pelakon-pelakon mengenai ilmu-ilmu lakonan.

Biarpun tidak mengenali secara peribadi namun jasa dan bakti primadona tersohor yang lebih mesra dengan panggilan "mummy" itu dalam dunia seni dirasakan memberi impak yang besar dalam industri.

Tambah Umie, seperkara lagi yang membuatkan dia kagum terhadap bekas ratu cantik Singapura itu kerana Allahyarham tetap komited dengan kerjaya seninya biarpun dalam keadaan usianya yang lanjut.

"Setiap kehidupan bakal berakhir dengan kematian dan itulah perkara yang pasti. Dan Mummy sangat bertuah kerana dikurniakan usia yang panjang sehingga 82 tahun dan masih kuat menjalani kariernya sebelum dia benar-benar tenat.

"Saya sangat kagum dengan dirinya yang tidak pernah lokek dalam berkongsi ilmu selain menjadi seorang 'mummy' kepada rata-rata rakan artis seangkatan saya,"

"Sebagai seorang peminat dan pelakon yang pernah bekerjasama dengannya, saya lihat dia sebagai seorang yang komited dengan kerjanya dan sudah tentu pemergiannya satu kehilangan besar sebagai sumber rujukan dunia lakonan dan perfileman tanah air," katanya kepada Malaysia Digest ketika di temui sewaktu beliau menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham, di Masjid Al-Hidayah, semalam.

Allahyarham Mariani yang juga merupakan kakak kepada biduanita Puan Sri Saloma, sudah melakonkan pelbagai watak dalam lebih 30 filem dan mencipta zaman kegemilangan filem Melayu di Jalan Ampas, Singapura sekitar tahun 60-an.

0 Response to "Tiada lagi sumber untuk dirujuk perfileman tanah air - Umie Aida"

Post a Comment