SABAH: Kehadiran penyampai radio ERA FM segmen JoHaRa Pagi ERA, Johan, Haniff
dan Ray julung kalinya ke Sabah menghangatkan suasana Konsert Era Sayang
Sabah (KESS) 2015 kali kelima yang dihadiri lebih 10,000 penonton di
pekarangan tempat letak kereta Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Jumaat
lalu.
Meskipun hujan renyai-renyai sejak jam 5 petang, tidak mematahkan
semangat penonton untuk menyaksikan KESS 2015 yang turut menampilkan
penyanyi kelahiran Indonesia yang popular dengan lagu Jodoh Pasti
Bertemu, Afgan.
Selain Afgan, beberapa artis lain turut menghiburkan penonton yang hadir
antaranya Stacy, Akim & Majistret, MOJO, Black, RJ, Wani Kayrie,
Aegy, The Ariez dan Jesselton Raw selain turut dibarisi penyampai ERA FM
Sabah, Ily, Biebey, Kim, Chris dan Lopz.
Konsert yang diadakan kali kelima itu adalah bagi menghargai pendengar
ERA FM khususnya di Sabah yang sentiasa menyokong industri hiburan
sepanjang tahun.
Acara dimulakan dengan tarian dari kumpulan Jesselton
Raw dan diikuti persembahan nyanyian daripada Aegy bersama rakan, Aye
dan Rachel yang membawa lagu single mereka, Be With You, Make You Fly
dan Main Jauh Jauh.
Namun KESS itu terganggu hampir 30 minit selepas skrin LCD di bahagian
pentas terpadam berikutan hujan lebat, namun JoHaRa berjaya menghiburkan
penonton apabila turun pentas bertemu penonton selain memberikan
cenderamata ERA FM.
Selepas gangguan pentas kembali pulih, persembahan diteruskan dengan
nyanyian kumpulan The Ariez yang membawa dua lagu, Gadis Curangan dan
Bukan Mungkin.
Konsert diteruskan dengan persembahan dari penyanyi asal Jangan-Jangan,
Wani Kayrie yang turut menyanyikan lagu Bang Bang diikuti Black dan RJ
yang mendendangkan empat lagu, Mana Mungkin, Si Putih Si Merah, Takkan
Terpisah dan Teman Pengganti.
Pengurus Besar Astro Radio Sabah dan Sarawak, Hafiz Nizamuddin berkata,
KESS yang diadakan kali kelima itu sebagai tanda penghargaan pihaknya
kepada pendengar khususnya di Sabah yang sentiasa menyokong industri
hiburan melalui radio terbabit.
Katanya, pihaknya turut berpuas hati dengan sambutan yang diberikan pada setiap penganjuran konsert dan tidak mengecewakan.
“Tahun ini, kami mencuba di lokasi yang lebih besar iaitu di Kompleks
Sukan Kota Kinabalu apabila tempat itu lebih luas untuk penonton
berkumpul dan sambutan yang diberikan amat membanggakan.
“Kami juga akan sentiasa memberi kelainan dalam menghargai pendengar dan
selepas ini banyak lagi aktiviti akan menyusul,”katanya.
Sementara itu, artis rap terkenal, Altimet meneruskan persembahan
bersama artis tempatan Sabah, Johathan Tse yang menyanyikan single
terbaru mereka Apa Macam selain turut merakamkan video klip mereka.
Ia diikuti dengan nyanyi Altimet secara bersendirian dengan
mendendangkan lagu Kalau Aku Kaya dan diteruskan dengan persembahan dari
kumpulan Mojo yang membawa tiga lagu popular mereka.
Sebagai tanda memperingati insiden gempa bumi Jun lalu, ERA FM turut
membawakan 11 malim gunung ke konsert terbabit sebagai tanda
penghargaan.
Konsert diteruskan dengan persembahan Akim & Majistret yang membawakan lima lagu selain turut berduet dengan Stacy.
Tidak ketinggalan, Stacy meneruskan persembahan di pentas dengan
menyanyikan dua lagu popularnya, Gilalah dan Not For Sale berduet dengan
Altimet.
Acara KESS itu ditutup dengan persembahan artis kelahiran Indonesia,
Afgan yang menyajikan lima lagu, Katakan Tidak, Jodoh Pasti Bertemu,
Knock Me Out, Sabar dan Kamu Yang Ku Tunggu.
Sepanjang persembahan itu, penonton terus bersemangat dan memberi tepukan gemuruh kepada penyanyi itu sehingga tamat konsert.
Terdahulu, KESS 2015 itu turut mengadakan pertandingan gambar selfie
terbaik dengan menggunakan hastag XPAXKESS2015 selain mengadakan sesi
bergambar bersama peminat bertuah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Johara ceriakan orang Sabah"
Post a Comment