KUALA LUMPUR: Pelawak Amir (Raja Lawak) masih belum berputus asa mengembangkan
perniagaan snek roti bakar yang diberi nama Roti Bakor Amirreka secara
francais meskipun ia tidak mendapat sambutan.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 27, berkata, punca
program francais itu gagal menarik perhatian peniaga baharu adalah
kerana modal permulaannya yang dianggap tinggi iaitu RM5,000.
"Jujurnya selama hampir enam bulan saya mulakan perniagaan ini ramai
yang berminat untuk membuka francais roti bakar tersebut tetapi
kebanyakkan daripada mereka tidak mampu dengan modal permulaan sebanyak
RM5,000 dikenakan.
"Setakat ini hanya ada dua gerai Roti Bakor Amirreka yang diusahakan
oleh saya sendiri namun saya masih belum berputus asa untuk melihat
jenama saya itu berkembang menerusi program francais," katanya kepada
mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Gerai Roti Bakor Amirreka kini beroperasi di Restoran From Taiping With
Love di Sri Gombak dan Mamak Republik, Batu Caves dekat sini.
Dalam pada itu, Amir berkata, sebagai alternatif dia mengambil keputusan
menurunkan modal permulaan tersebut daripada RM5,000 kepada RM3,000
bagi memudahkan peniaga baharu memulakan perniagaan mereka.
"Mungkin saya akan mengalami sedikit kerugian tetapi niat saya yang
sebenar adalah untuk membantu mereka yang berminat menceburi perniagaan.
"Seperti yang saya katakan, ramai yang berminat tetapi kekurangan modal menyebabkan mereka terpaksa melupakan hasrat tersebut.
"Jadi saya fikir apa salahnya merendahkan modal permulaan dan sama-sama membantu," jelasnya.
Sementara itu, Amir berkata, setakat ini dua gerai Roti Bakor Amirreka miliknya semakin mendapat sambutan daripada pelanggan.
Jelas Amir, secara purata dia dapat membuat keuntungan sebanyak RM200 hingga RM400 di setiap gerai setiap hari.
"Saya mula berniaga dari pukul 5 petang sehingga 12 tengah malam dan
Alhamdulillah semakin ramai menyukai roti bakar yang saya buat dan
respons diberikan sangat baik," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amir berkata, dia baharu sahaja selesai
menjalani penggambaran sebuah sitkom berjudul JKKK untuk siaran TV3.
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung francais Roti
Bakor Amirreka boleh menghubungi Shahril di talian 019-6307261.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Roti bakar Amir Raja Lawak sudah murah"
Post a Comment