Juliana Evans menjadi Bawang Putih berkesan

ISTANA BUDAYA: Pertama kali ke pentas teater, Juliana Evans mengakui pelbagai perasaan bercampur baur sudah mula menyelubungi dirinya. Sudah beraksi di pentas teater Bawang Putih Bawang Merah arahan Erma Fatima serta A Aris A Kadir mulai 3 hingga 8 Disember lalu di Istana Budaya bakatnya jadi perhatian.

Karakter gediknya mencuit hati. Selain Juliana, turut sama berlakon ialah Nur Fathia Latiff, Syarul Ridzwan, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Fauziah Ahmad Daud dan Fazlina Ahmad Daud. Memegang watak antagonis sebagai Bawang Putih, Juliana yang mesra disapa Jue mengakui tanggung itu cukup besar baginya.

Bahkan sebagai persediaan juga dia sebelum ini menonton filem klasik hitam putih lakonan Datin Umi Kalthom dan Latiffah Omar yang diterbitkan Cathay Keris Filem pada 1959. Filem klasik berkenaan arahan Datuk S Roomai Noor.

"Watak dan tanggung jawab ini cukup besar buat saya. Saya bersedia untuk dibenci untuk ini dan Alhamdulillah maklum balas cukup positif apabila ada yang menyampah dan membenci lakonan saya. Sebelum ke pentas IB, saya memang kembali menonton filem Bawang Putih Bawang Merah untuk mengambil mood dan menyegarkan ingatan kembali kepada cerita ini.

"Tak saya nafikan, ia antara filem hitam putih yang saya minati. Bahkan ketika menontonnya semula, saya masih menikmatinya tanpa jemu. "Saya banyak belajar daripada banyak aspek termasuk karakter Bawang Putih itu sendiri untuk filem ini. Selepas lama tak menonton filem hitam putih dari Malaysia, akhirnya saya menontonnya semula," katanya kepada BH Online.

Sedar mengambil risiko untuk menerima lamaran Erma untuk membintangi teater ini, Jue mencabar diri dan sudah terbiasa bekerja dalam tekanan. Baginya, dia percaya peluang sulung ini tidak harus dilepaskan begitu sahaja dan seharusnya menjadi ruang untuk membuktikan bakat lakonannya menerusi medium teater.

"Tak saya nafikan tertekan kerana tempoh masa sebelum pementasan cukup rapat. Lagi-lagi ini teater muzikal. Selalunya saya dengar sekurang-kurangnya ada masa sebulan untuk berlatih. Tapi kali ini memang masa begitu mencemburui. Dengan prestij Istana Budaya yang pertama kali saya bakal jejaki, deruan adrenalin itu bertiup laju.

 "Saya boleh bekerja di bawah tekanan. Dalam situasi itu, saya boleh menolak diri ke tahap yang lebih tinggi. Selain itu, dalam teruja ada rasa debaran memuncak yang hadir. Saya tak sabar nak tengok reaksi dan maklum balas penonton serta peminat. Keberanian untuk beraksi saya harus dan memang kena pupuk supaya dapat memberikan persembahan terbaik untuk teater ini," katanya yang diuruskan Uprising Entertainment.

Teater ini bukan kali pertama Jue bekerja di bawah arahan Erma. Sebelum ini, dia pernah berlakon dalam sebuah drama di bawah arahan pengarah itu untuk komitmen sehari. Selain kali pertama menjejaki Istana Budaya, ini juga medan sulung Jue beraksi dengan Syarul Ridzwan dan Fathia di bawah medium teater.

"Saya bangga dapat berlakon di bawah arahan Kak Erma. Dia banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan untuk menghidupkan karakter Bawang Putih. Dia juga tak lokek beri tips untuk mewarnakan karakter itu.

Pada masa yang sama, saya juga teruja berlakon dengan Syarul serta Fathia. Fathia sebenarnya sudah lama saya kenal dan baik. Kami dari sekolah yang sama.

"Pernah bergandingan dengan Fathia untuk sesi fotografi beberapa kali, cuma rezeki kami berlakon sama belum ada. Akhirnya teater ini merealisasikan peluang saya dengan Fathia. Fathia dan Syarul juga tak lokek berkongsi ilmu dan kerjasama bagi saya menjayakan teater ini.

Insya-Allah, saya berharap semuanya akan lancar," katanya. Sekembalinya dia ke tanah air selepas dua tahun berada di Amerika Syarikat, rezeki Jue turut murah apabila bergelar duta produk bagi empat jenama antarabangsa antaranya syampu dan produk mandian.

"Ini semua rezeki dan tak patut ditolak. Apa yang diperoleh hari ini adalah kerja keras pasukan dan pihak pengurusan saya iaitu Uprising Entertainment. Saya buat semua ini bukan kerana duit semata-mata sebaliknya mahu membantu dan menyenangkan keluarga.

Sebelum ini saya sudah membelikan ayah kereta dan mahu beli rumah untuk emak pula," katanya.

0 Response to "Juliana Evans menjadi Bawang Putih berkesan"

Post a Comment