KUALA LUMPUR: Drama Hello Mr. Perfect bukan hanya membawa tuah kepada pendatang baru,
Ruhainies apabila menjadi teraju utama dalam drama 26 episod itu malah
membuka peluang lebih luas sebagai pelakon.
Drama disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 itu menjadi landasan yang baik untuk pelakon baru membina nama sepertinya.
Kini sibuk dengan penggambaran telefilem Karlisa, Ruhainis atau Nur
Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 23, berharap ia menjadi permulaan yang
baik buat dirinya.
Katanya, tidak hanya terhad pada tawaran berlakon, dia juga diintai
menjadi duta produk dan bersyukur kerjaya seninya berjalan lancar.
“Saya tidak sangka selepas berlakon drama itu, banyak tawaran yang
datang. Bukan dalam lakonan saja, malahan ada juga yang ingin menjadikan
saya sebagai duta produk kecantikan mereka.
“Saya melihat keadaan ini sebagai perkembangan positif dalam kerjaya.
Saya pernah berlakon dalam telefilem Sopeah Jin tetapi memegang watak
kecil. Ketika itu, tidak ada pun yang menyedari kehadiran saya.
“Tetapi selepas menjadi teraju utama Hello Mr. Perfect, barulah penonton
perasan saya juga berlakon dalam telefilem itu,” katanya.
Ruhainis gembira kerana rating Hello Mr. Perfect sangat memberangsangkan
hingga rantaian itu berjaya menduduki tangga kedua mengalahkan Love You
Mr Arrogant tetapi belum berjaya mengatasi Rindu Awak 200% lakonan Ayda
Jebat dan Zul Ariffin.
Namun begitu, kata Ruhainies, dia gembira kerana penonton memberi sokongan walaupun heroin Hello Mr. Perfect pelakon baru.
“Ia menandakan rakyat Malaysia menerima kehadiran orang baru dalam
industri seni dan tidak terus menghukum walaupun lakonan mereka masih
kurang mantap,” katanya.
Dia mengakui mana-mana pelakon slot Akasia pasti menjadi sebutan
penonton. Namun, ada yang nama mereka meletup hanya ketika drama itu
ditayangkan dan kemudian hilang selepas drama mereka digantikan dengan
naskhah lain.
Ruhainies adik pelakon Risteena Munim berkata, timbul perasaan bimbang
dia menjadi ‘one hit wonder’ namun tetap percaya pada rezeki.
“Saya menyedari keadaan itu memang ada menimpa beberapa pelakon. Saya
juga takut apabila Hello Mr. Perfect digantikan dengan siri lain, mereka
akan melupakan saya.
“Tetapi kalau sudah rezeki saya, walaupun tidak muncul dalam drama lain
nama saya tetap menjadi sebutan. Saya sudah melakukan yang terbaik
melakonkan watak Alya Adriana dan Nurul Ain.
“Syukur kerana sehingga kini masih ada lagi yang mengingati saya sebagai
pelakon dalam Hello Mr. Perfect. Paling penting saya gembira kerana
walaupun masih baru, saya dapat memberikan sedikit sumbangan dan
membantu drama itu menduduki tangga kedua dalam rating drama Akasia,”
katanya.
Drama bersiri 26 episod itu mula disiarkan 30 September lalu
menggantikan drama Mencintaimu. Ruhainie memegang dua watak, Alya
Adriana dan Nurul Ain serta digandingkan dengan Fattah Amin. Ia kini
digantikan dengan Akulah Balqis lakonan Puteri Balqis, Aeril Zafrel dan
Nabila Huda sejak 18 November lalu.
Cari peluang dalam perniagaan
Memiliki Diploma Pengurusan Pelancongan dari Universiti Teknologi Mara,
(UiTM) Pulau Pinang, Ruhainis bukan hanya mahu dikenali sebagai pelakon
terkenal tetapi juga mencari peluang menjalankan perniagaannya.
Katanya, itu adalah sebagai rancangan sandaran andai kerjaya lakonan
tidak menjadi. Tambah pula sebelum bergelar pelakon pun dia terlebih
dulu berjinak-jinak dalam bisnes.
“Saya sudah mula menjalankan perniagaan sebelum jadi pelakon tetapi
tergendala seketika kerana memberikan tumpuan pada lakonan. Sekarang
saya sudah boleh mengatur jadual lakonan, bolehlah saya teruskan
rancangan saya itu.
“Insha-Allah, dalam masa terdekat saya akan lancarkan produk kecantikan
Ruhaninies RosySecret. Perniagaan ini adalah sebagai sandaran kalau
lakonan tidak menjadi. Ia juga adalah pendapatan sampingan saya,”
katanya.
Sibuk menjalani penggambaran telefilem Karlisa, Ruhainies sudah merancang untuk pergi bercuti bersama keluarga.
Katanya, selain meluangkan masa bersama keluarga, dia juga ingin berehat sebelum kembali ke lokasi penggambaran.
Memilih London sebagai destinasi percutian, Ruhainies bercuti selama dua
minggu dan kembali bekerja pada 31 Disember. Katanya, dia sudah tidak
sabar untuk menikmati keindahan negara itu.
“Selain ingin membawa keluarga berjalan-jalan di negara orang, saya juga
mahu berehat. Biarlah saya kembali ke lokasi dalam keadaan segar.
Apabila terlalu letih bekerja, ia akan mempengaruhi kualiti kerja,”
katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Ruhainies semakin mula dikenali"
Post a Comment