Lahir bakat semulajadi Kajol

BOLLYWOOD: Ketika namanya berada di puncak kejayaan, aktres jelita, Kajol Mukherjee memilih untuk menamatkan zaman bujangnya dengan pelakon, Ajay Deygan pada 1999 selepas lima tahun bercinta.

Bahkan, selepas bergelar ibu, pelakon berusia 41 tahun ini sanggup meninggalkan karier lakonan demi memberi sepenuh perhatian terhadap anak-anaknya Nysa Devgan dan Yug Devgan.

Meskipun ada yang menyatakan tindakannya agak kurang tepat, namun itu tidak menjadi hal yang mengganggu setiap keputusannya.

Buktinya, artis kelahiran Mumbai Maharashtra, India ini masih lagi dianggap sebagai Ratu Bollywood, sehingga ke hari ini.

Masakan tidak, beberapa filem lakonannya seperti Dilwale Dulhania Le Jayenge (1995) dan Kuch Kuch Hota Hai (1998), masih lagi mendapat tempat di hati penonton meskipun sudah berusia lebih dari 15 tahun.

Bukan setakat menjadi pilihan penonton, bahkan filem-filemnya itu turut membolot banyak anugerah di Filmfare Award yang mengangkat hasil kerja karyawan filem Hindi.

Dilahirkan dalam keluarga seni, Kajol mula menceburi bidang lakonan ketika berusia 18 tahun.

Kemunculannya sebagai pelakon terbaik adalah kerana bakat yang diwarisi daripada ibunya, Tanuja yang juga seorang pelakon terkenal di Bollywood pada era 60-an dan 70-an.

"Saya menggemari bidang yang saya buat dan setiap kejayaan yang diraih dalam sesuatu anugerah adalah satu penghargaan terhadap kerja saya," katanya.

Bahkan, bintang filem Fanaa ini juga mengakui kerjayanya merupakan satu tanggungjawab buat dirinya apatah lagi selepas 23 tahun pembabitannya dalam bidang seni.

"Filem Bollywood ada drama, pelbagai warna dan penceritaan yang sangat indah serta boleh memanipulasi emosi penonton.

"Pelakon cuma nilai tambah kepada keberkesanan dan kejayaan sesebuah filem Bollywood.

"Jika penonton terhibur maka kami berhasil menjalankan tugas kami," katanya.

Gandingan Kajol: SRK

Keberuntungan Kajol dalam dunia perfileman Bollywood bermula selepas membintangi filem Dilwale Dulhania Le Jayenge pada 1995 yang memperlihatkan gandingannya dengan aktor popular, Shah Rukh Khan (SRK).

Mereka kemudiannya muncul sebagai antara pasangan paling romantik dalam sejarah Bollywood.

Lebih manis, hubungan ‘cinta itu sebuah persahabatan’ yang terjalin menerusi filosofi Kuch Kuch Hota Hai (1998) berjaya menjulang nama Kajol dan SRK sebagai gandingan romantik terbaik sepanjang zaman.

Filem lain yang menyaksikan lakonan Kajol dan Shah Rukh Khan dan  tidak pernah mengecewakan adalah Baazigar (1993), Karan Arjun (1995), Kabhi Khushi Kabhie Gham (2001) dan kali terakhir, My Name Is Khan (2010).

Mengenai gandingannya bersama SRK, Kajol mengakui wujudnya keserasian di antara mereka.

"Sepanjang mengenali dan berlakon di sampingnya, saya bertuah kerana dapat menimba pengalaman berharga.

"SRK memang seorang pelakon yang hebat. Biarpun sudah terkenal, dia masih tetap seperti dulu," katanya.

Malah, pengarah filem berbakat, Karan Johar turut bersetuju dengan cara pasangan ini menghidupkan watak yang diberi.

"Mereka sudah lama bersahabat baik dan gerak hati mereka juga seiring walaupun ia berlaku secara kebetulan," katanya.

Sibuk berlakon

Setelah sekian lama tidak berlakon bersama, akhirnya Kajol dan Shah Rukh Khan (SRK) muncul dalam filem terbaru,  Dilwale yang akan ditayangkan pada 18 Disember ini.

Ramai menjangkakan sambutan terhadap filem arahan Rohit Shetty itu adalah sesuatu yang hebat.

Menariknya, trailer filem itu berjaya mencapai hampir 18 juta tontonan sejak dilancarkan di laman sosial, You Tube lebih sebulan lalu.

Menceritakan pengalamannya, Kajol mengakui terlalu sibuk dengan projek filem tersebut sejak Jun lalu

Ini kerana, filem itu bukan saja menjalani penggambaran filem di India tetapi juga Bulgaria dan Islandia.

Akibatnya, suaminya, Ajay Devgan terpaksa mengambil tugasnya sebagai suri rumah tangga dan menguruskan hal anak-anak.

"Ajay sibuk dengan projek filem Shivaay dan tidak lama lagi penggambaran filem itu akan dijalankan.

"Memandangkan Kajol sedang sibuk dengan penggambaran filem, maka Ajay perlu memperlahankan kerja-kerja pra produksi filem Shivaay kerana perlu menguruskan anak-anak di rumah," kata sumber kepada Pink Villa.

Selain Kajol dan SRK, filem itu turut menampilkan dua pelakon yang sedang meningkat naik, Varun Dhawan dan Kriti Sanon.

Dilwale berlatar belakangkan persekitaran kejam dan ganas, Raj dan Meera yang terpaksa berdepan dengan konflik di antara keluarga masing-masing.

0 Response to "Lahir bakat semulajadi Kajol"

Post a Comment