Rita Rudaini akhiri zaman solo nya?

KUALA LUMPUR: Dua kali rumah tangga yang dibina bersama insan tersayang berakhir tanpa penamat yang indah.

Malah, kemelut rumah tangga keduanya bersama bekas suami, Aidil Zafuan paling mencuri perhatian terutama kisah turun naik Mahkamah Syariah yang bagai tidak berkesudahan.

Pendek kata, ibu tunggal kepada Airit Rayyan Rizqin yang berusia enam tahun dan seorang lagi cahaya mata berusia empat tahun, Airit Qaqa Arjuna ini terus menjadi perhatian ramai. Rita pernah mengakui selepas dikecewakan, hatinya tertutup untuk berkahwin lagi.

Baginya, soal kahwin bukan lagi keutamaan. Sebaliknya, Rita mahu membesarkan anak dengan menyara hidup hasil daripada kegiatan seninya. Namun, itu dulu.

Hati manusia sentiasa berubah dengan pendirian berbeza. Melihat perkongsian aktres jelita ini pada laman Instagram sejak seminggu lalu, nampaknya, prinsip hidupnya yang selama ini enggan menagih cinta sudah menjadi sebaliknya.

Jelas, Rita sedikit demi sedikit terbuka berkongsi kisah di sebalik kamar hati yang bagai sudah mula diketuk orang. Bagaimanapun, identiti jejaka terbabit masih menjadi tanda tanya.

Rita, ketika diusik BH Online mengenai kemungkinan bakal menamatkan zaman solo tak lama lagi, hanya memberi senyuman penuh makna. "Sampai waktunya, saya akan bercerita," katanya.

Sementara itu, semakan pada laman Instagram pelakon jelita ini memperlihatkan wanita ini bagai sedang asyik dibuai cinta. Keterangan gambar seperti 'Kamu yang ku tunggu'; 'Cinta datang dengan senyuman'; 'Perkara yang terbaik berlaku tanpa diduga' dan 'Saya tak berniat untuk jatuh cinta lagi tetapi kamu memudahkan semuanya' yang dilengkapi foto cukup membayangkan emosi yang dilalui Rita ketika ini.

0 Response to "Rita Rudaini akhiri zaman solo nya?"

Post a Comment