KUALA LUMPUR: Impian pelakon Siti Saleha Mohd Baharum, 25, untuk melebarkan bakat di
negara jiran Indonesia bakal terbuka luas apabila dilamar membintangi
produksi filem seberang.
Ketika artikel ini disiarkan, Siti Saleha berada di Pulau Pinang dan
akan terbang ke Jakarta bagi menjalani penggambaran filem Spy In Love
selama tiga minggu.
Lebih membanggakan, walaupun beberapa pelakon dari negara seberang turut
dibariskan membintangi Spy In Love, dia dipilih menjadi teraju utama
berganding dengan hero yang sedang mencipta nama di Indonesia, Hamish
Daud.
Katanya, peluang itu diperolehnya apabila seorang kenalan penerbit
memperkenalkan bakatnya dengan produksi Fimtab Unik Sdn Bhd yang
menerbitkan Spy In Love.
“Spy In Love usahasama produksi tempatan dan Indonesia. Mereka bergabung menjadi satu untuk menghasilkan filem itu.
“Sebelum ini memang saya pernah mengatakan dalam lima tahun akan datang
antara impian saya adalah membintangi filem mahupun drama dari Indonesia
dan Filipina. Nampaknya ia menjadi kenyataan,” katanya sewaktu ditemui
di majlis pelancaran filem terbaru lakonannya, Langit Cinta yang
ditayangkan 7 Januari depan.
Katanya, dia bersyukur dengan peluang diberikan, tambah pula Spy In Love
dijadualkan ditayangkan di negara seberang apabila siap kelak.
Dia juga optimis apa yang dilakukannya ini dapat menjadi pembuka jalan kepadanya untuk meluaskan tapak di negara luar.
“Memang sebelum ini banyak filem usahasama yang dilakukan gagal
mengenengahkan nama pelakon tempatan di sana. Penerimaan peminat filem
di Indonesia terhadap filem usahasama juga dingin.
“Tapi sebagai pelakon, saya tidak terlalu memikirkan soal itu sebaliknya
memandangnya dari sudut positif. Sekurang-kurangnya Spy In Love diharap
dapat menjadi pembuka langkah untuk mengembangkan bakat saya di sana.
“Selagi kita tidak cuba, kita tidak akan tahu nasib kita. Mungkin
pandangan itu datang dari filem yang terdahulu. Siapa tahu dengan filem
Spy In Love penerimaan peminat dan penggiat filem di sana berbeza,”
katanya.
Pada waktu sama, Saleha akui dia menerima tawaran membintangi filem usahasama ini kerana mahu menimba pengalaman.
Katanya, walaupun filem ini tidak diterima sekali pun apabila
ditayangkan kelak, dia tetap gembira dan berpuas hati kerana dapat
menimba pengalaman dengan produksi seberang.
“Antara sebab utama mengapa saya menerima tawaran ini, saya mahu melihat
dan belajar cara produksi dan pelakonnya bekerja. Corak persembahan
lakonan mereka juga pastinya tidak sama dengan apa yang ada di sini.
“Apabila bekerja dengan mereka, saya yakin boleh belajar banyak perkara.
Disebabkan itu juga apabila tawaran diberikan saya tidak banyak bersoal
jawab.
“Lagipun tugas saya berlakon, jadi mengapa saya harus memikirkan banyak
perkara seperti filem itu diterima atau tidak. Biarlah perkara itu
dilakukan pihak yang sepatutnya melakukannya,” katanya.
Senang bekerja dengan Osman Ali
Selain komitmen untuk Spy In Love, Saleha baru saja selesai menjalani penggambaran drama Uda dan Dara sebanyak 60 episod.
Saleha akui ini satu-satunya drama episod paling panjang yang pernah
dibintangi. Dia gembira kerana banyak juga pengalaman yang dilalui.
“Walaupun penat kerana bekerja hampir setengah tahun tempoh lamanya, tetapi saya lega kerana dapat menjayakannya.
“Kalau hendak diikutkan, memang perancangan awalnya drama bersiri ini
hendak dibuat 80 episod, tetapi pihak penyiar Astro memendekkan jumlah
episod menjadi 60. Begitupun, cabaran kerjanya tidak banyak beza,”
katanya.
Uda dan Dara mengisahkan pergolakan cinta antara Siti Mariam lakonan
Saleha dan Izzat Hilman (Zul Ariffin). Ibu Izzat Hilman, Mak Cik Zainab
mahu jodohkan Izzat Hilman dengan anak saudaranya, Khalidah.
Siti Mariam kecewa. Di tambah dengan penghinaan daripada orang yang
paling disayanginya, Izzat Hilman. Walaupun itu cinta zaman kanak-kanak,
Siti Mariam membawa sengsaranya hingga ke dewasa. Dirinya membenci
lelaki yang bernama Izzat Hilman.
Di sebalik perasaan bencinya terhadap lelaki yang melukai hatinya
perasaan sayang masih ada dalam dirinya. Apabila Izzat Hilman datang
kembali dalam hidupnya Siti Mariam meletakkan syarat. Mereka boleh
bersama tetapi bersedia untuk berpisah. Tempoh yang diberi hanya tujuh
bulan.
Dalam filem Langit Cinta pula, Saleha gembira kerana menjadi karya pertama dia bekerja dengan pengarah prolifik, Osman Ali.
Katanya, walaupun kali pertama bekerja dengan Osman, dia senang bekerja dengannya.
“Sebagai pengarah berpengalaman dia banyak mendidik. Ada pengarah lebih
senang melepaskan watak yang dijayakan kepada pelakon sepenuhnya.
“Bagaimanapun Osman banyak memberi panduan bagaimana saya hendak
menjayakan watak Suzana, seorang doktor. Saya lebih suka begitu. Tambah
pula Osman sangat teliti dengan karya yang dihasilkannya,” katanya.
Bagaimanapun jelas Saleha, pembabitannya dalam Langit Cinta tidak banyak dan dia hanya muncul pada awal dan pengakhiran cerita.
Selain Saleha, turut membintangi Langit Cinta ialah Keith Foo dan Fazura sebagai teraju utama serta Farid Kamil.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Siti Saleha berlakon Filem di Indonesia"
Post a Comment