ISTANA BUDAYA: Impian pelakon Fazlina Ahmad Daud untuk berlakon disamping kakaknya, Ogy
Ahmad Daud tercapai apabila mereka digandingkan dalam teater Bawang
Putih Bawang Merah.
Fazlina, 40, berkata, penantian selama 20 tahun akhirnya terbayar kerana
Ogy bukan sahaja kakaknya malah mentornya dalam bidang lakonan.
"Ini adalah saat yang paling saya tunggu-tunggu selama 20 tahun terlibat
dalam bidang seni dan akhirnya saya dapat bergandingan dengan Kak Ogy
menerusi teater ini.
"Apabila diberitahu beliau bakal terbabit sama dalam teater ini saya
terkejut dan tiada kata dapat diucapkan selain gembira," katanya.
Fazlina berkata demikian ketika ditemui selepas pementasan teater Bawang
Putih Bawang Merah di Panggung Sari, Istana Budaya di sini, Jumaat
lalu.
Selain Fazlina dan Ogy, teater arahan Erma Fatima itu turut menampilkan
barisan pelakon seperti Fathia Latiff, Juliana Evans, Syarul Ridzwan,
Beto Kusyairi, Ungku Ismail, Nabila Huda dan Dafi.
Ia mula dipentaskan sejak 3 Disember lalu sehingga 8 Disember ini.
Dalam pada itu, Fazlina berkata, meskipun mereka adalah adik-beradik
namun sepanjang latihan Ogy profesional dalam memastikan dapat
memberikan persembahan terbaik kepada penonton.
Kata Fazlina lagi, dia bertuah mendapat bimbingan kakaknya memandangkan mereka banyak babak bersama.
"Saya membawakan watak sebagai Mak Labu manakala Kak Ogy Mak Kundur dalam pementasan tersebut jadi kamu banyak babak bersama.
"Sepanjang latihan banyak ilmu yang saya kutip daripadanya dan
harap-harap saya dapat membuatnya bangga dengan persembahan saya,"
jelasnya.
Sementara itu, Ogy berkata, sebagai kakak dia melihat peluang
bergandingan dengan adiknya sebagai satu peluang yang tidak harus
dilepaskan.
Malah kata Ogy, dia berbangga dengan pencapaian Fazlina dan kecemerlangannya membawakan watak Mak Labu harus diberi pujian.
"Saya seronok berlakon disampingnya dan ini adalah masa untuk dia ketengah sebagai pelakon," ujarnya.
Tambah Ogy, dia juga berbangga dengan pencapaian pelakon lain dalam
teater berkenaan yang bersungguh-sungguh menjayakan watak mereka biarpun
ada di antara mereka masih baharu di pentas teater.
"Walaupun tiada pengalaman tetapi kesungguhan dan keinginan mereka untuk belajar harus saya puji.
"Ini adalah medan mereka untuk mengutip ilmu kerana wajah-wajah ini yang akan menjadi pelapis pada masa hadapan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Akhirnya tercapai berlakon dengan kakak saya - Fazlina Ahmad Daud"
Post a Comment