Menteri Luar Selamatkan Orlando Bloom dihalau dari india

HOLLYWOOD: Aktor popular Hollywood, Orlando Bloom, berdepan pengalaman memalukan apabila diusir balik ke Britain dari ibu negara India pada tengah malam Sabtu apabila permohonan e-visanya ditolak.

Bagaimanapun, bintang filem 'Lord of the Rings' itu berjaya kembali semula ke New Delhi dengan bantuan Menteri Luar India, Sushma Swaraj.

Menurut laporan The Indian Express, Bloom sepatutnya menjadi tetamu kerajaan negeri Uttar Pradesh, dan dijangka melawat Taj Mahal ketika berada di India, tetapi permohonan e-visanya ditolak pihak berkuasa India.

Bloom, yang tiba di India pada jam 1.30 pagi waktu tempatan, terpaksa meninggalkan negara itu kira-kira jam 4.00 pagi hari yang sama.

Tidak lama selepas itu, Swaraj dimaklumkan mengenai perkara itu dan visa baharu dikeluarkan untuk aktor itu yang membolehkan beliau mengunjungi India.

Jurucakap Kementerian Luar, Vikas Swarup, dipetik oleh akhbar Mumbai Mirror sebagai berkata: "Apabila seseorang memohon e-visa, mereka akan menerima e-mel menyatakan ia diterima atau ditolak.

"Saya rasa Bloom mendarat tanpa pengesahan e-mel atau lupa memeriksa sama ada visa sudah diberikan atau tidak.

"Ia mengambil minimum 72 jam dan maksimum empat hari untuk visa diproses, sama ada permohonan itu diterima atau ditolak."

0 Response to "Menteri Luar Selamatkan Orlando Bloom dihalau dari india"

Post a Comment