Andy Flop Poppy marah gambar diambil di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Flop Poppy Andy berang apabila sekumpulan jurugambar media cuba merakamkan gambarnya ketika hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa.

Andy atau nama sebenarnya Megat Effendy Zakaria, 43, memberitahu tidak mahu gambarnya diambil kerana urusannya ke mahkamah adalah peribadi.

Perselisihan faham itu bagaimanapun berjaya ditenangkan oleh peguam syarie Andy iaitu Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi yang turut bersamanya.

Penyanyi itu hadir ke mahkamah bersama isterinya, Nurul Shafizan Othman, 42, bagi menghadiri perbicaraan terhadap permohonan pengesahan nikah yang dibuat pasangan itu selaku pemohon.

Kes berkenaan didengar dihadapan Hakim Syarie, Mohd Saifullah Hamzah.

Andy selaku pemohon pertama kes berkenaan membuat permohonan kepada mahkamah agar prosiding diadakan di dalam kamar.

Peguam syarie mewakili penyanyi itu memberitahu mahkamah anak guamnya tidak selesa dengan kehadiran media yang ingin membuat liputan perbicaraan tersebut memandangkan Andy seorang yang sensitif.

Mohd Saifullah membenarkan permohonan itu dan prosiding berlangsung secara tertutup.

Pada Mei lalu, Andy mengejutkan peminatnya apabila mendedahkan sudah bernikah buat kali kedua dengan wanita dikenali sebagai Aliaah Abdullah menerusi Instagram miliknya.

Shafizan yang tidak mengetahui perkara tersebut memberitahu tidak pernah bersetuju dengan perkahwinan kedua suaminya itu.

Pasangan itu berkahwin pada 2 Disember 1991 dan dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Megat Daniel Azreen, 23, Megat Zarul Mukhriz, 21, Puteri Adlin Natasya, 18, Puteri Adlin Syafinie, 17, Puteri Adlin Syafinaz, 12, Megat Adam Zakaria, 4 dan Puteri Sumayyah Ramadhani, setahun.

Shafizan kini sedang hamil anak kelapannya.

0 Response to "Andy Flop Poppy marah gambar diambil di Mahkamah"

Post a Comment