AL-FATIHAH: "Jaga kesihatan, jangan jadi seperti saya." Begitulah pesanan terakhir
pelawak Allahyarham Yussry Edoo yang lebih dikenali sebagai Yus Jambu
kepada rakan sekumpulannya dalam program realiti, Juara Parodi iaitu
penyanyi terkenal, Misha Omar, Jumaat lalu.
Misha yang masih terkejut
dengan berita pemergian arwah memberitahu BH Online, pesanan berbaur
nasihat itu menjadi kata-kata yang tidak akan dilupakan penyanyi Bunga
Bunga Cinta itu sampai bila-bila. Menurut Misha, sepanjang hampir
sebulan bersama Yus dalam program Juara Parodi, arwah sangat
menyenangkan dan tidak lokek. "Saya tidak menyangka rupa-rupanya
keakraban kami pada sesi latihan tempoh hari akan menjadi kenangan
terakhir saya dengan arwah.
"Sebelum ini, ketika sesi latihan, kami
lebih banyak buat hal sendiri. Tetapi entah kenapa, Jumaat lalu, saya
banyak meluangkan masa dengannya. "Banyak yang kami bualkan terutama
sekali mengenai hal kehidupan. Dalam perbualan itu, Yus sempat
menasihatkan saya supaya menjaga kesihatan dan tidak menjadi sepertinya.
"Arwah bukan saja mengambil berat kepada saya, malah krew dan juga
teman rapatnya yang lain," katanya. Misha berkata, arwah sering membawa
alat menguji kandungan gula dalam darah dan menasihatkan rakan-rakan
melakukan ujian sama. "Jadi setiap kali hendak menguji darahnya, arwah
akan suruh rakan-rakan yang lain menguji darah mereka.
"Walhal kertas
ujian gula itu bukannya murah, tetapi arwah tidak lokek demi menjaga
kesihatan rakan-rakannya," kata Misha.
Tambah Misha lagi, kehilangan
mengejut Yus menyebabkan beliau tidak mampu berfikir mengenai perjalanan
kumpulan Kobis Pedas yang turut disertai Tauke dalam program realiti
itu. Misha berkata, bagaikan ada kebetulan apabila tugasan yang menanti
kumpulannya Jumaat ini adalah sketsa menggunakan sebuah bingkai gambar
dengan tajuk 'Aku Suka Benda Ini Kerana Ia Mengingatkan Aku Kenangan
Pada Kau'.
Tugasan itu, menurut Misha, seolah-olah kena dengan situasi
sekarang. "Saya tidak tahu bagaimana kami akan membuat persembahan
Jumaat ini lebih-lebih lagi dengan tugasan yang diberi. "Nampaknya saya
sudah tahu gambar siapa yang perlu diletakkan pada bingkai yang
diberikan kepada kami tempoh hari," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Arwah Yus Jambu suruh saya jaga kesihatan - Misha Omar"
Post a Comment