Arwah Primadona Mariani seorang yang baik

KUALA LUMPUR: Primadona filem Melayu, Allahyarhamah Mariani Ismail, 82, disifatkan teman baiknya sebagai seorang yang baik hati dan sentiasa membantu mereka yang dalam kesempitan. Arwah juga seorang yang menepati janji dan masa serta akan kecewa jika janji yang dibuat tidak ditunaikan. Perkara itu diluahkan teman baiknya, Raja Nazhar Hasnah, 62, ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

Raja Nazhar berkata, sebelum ini mereka sering berhubung tetapi sejak seminggu lalu, arwah seperti terasa hati apabila beliau tidak menunaikan janji untuk membawanya pergi mengurut. "Kami sudah bersahabat lebih 30 tahun dan saya sering menemaninya jika arwah terbabit dalam urusan berkaitan kerjaya seni. "Kebelakangan ini, arwah sering mengadu lapar dan anaknya yang menetap di Singapura, Normah menyuapkan dadih tetapi arwah hanya menjamah sedikit menggunakan tiub.

Arwah menghidap kanser usus dan dinasihatkan doktor supaya hanya mengambil makanan lembut," katanya. Raja Nahzar berkata, beberapa hari kebelakangan ini, arwah kurang bercakap sebaliknya lebih banyak tidur.

"Dua hari lalu, arwah mengadu lapar dan tidak sangka, itu antara tanda arwah akan meninggalkan semua. Alhamdulillah, pemergiannya mudah. Kesihatan arwah bertambah merosot sejak dua hari lalu tetapi pada kira-kira jam 7 pagi tadi semakin tenat. "Normah bersama Melissa Saila membacakan surah Yasin selepas solat Maghrib tetapi arwah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.32 malam Semalam," katanya.

0 Response to "Arwah Primadona Mariani seorang yang baik"

Post a Comment