Persiapan album terbaharu penyanyi dan penulis lirik, Yuna hampir 90 peratus selesai dan dijangka akan menemui peminat pada penghujung Februari tahun hadapan.
Yuna berkata, album kelima versi Amerika Syarikat (AS) itu bakal menampilkan sisi perwatakan beliau yang lebih berlainan dengan menekankan pengaruh elemen urban, RnB, dan irama hip hop yang lebih rancak dan segar.
"Walaupun terdapat banyak perubahan antaranya dari segi irama lagu, saya yakin bahawa pendengar yang mendengar lagu-lagu itu akan tahu itu adalah Yuna," katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual eksklusif, di sini, baru-baru ini. Bagaimanapun, beliau belum lagi mengambil keputusan untuk mendedahkan nama dan jumlah lagu dalam album itu dalam masa terdekat ini.
Mengenai projek sampingan terbaharu buat peminatnya di Malaysia, Yuna berkata beliau kini masih dalam perancangan untuk menghasilkan lagu-lagu yang lebih berunsurkan humor dan mengusik. "Dari segi budaya dan penerimaan muzik di sini (Malaysia), rakyat Malaysia lebih gemar dengan lagu yang dekat dengan kehidupan mereka contohnya seperti lagu 'Lelaki', 'Dan Sebenarnya' dan lain-lain," katanya. Sebelum ini, beliau telah mengeluarkan empat album Malaysia iaitu Yuna (2008), Decorate (2010), Terukir di Bintang (2012), dan Material (2015) serta empat album AS iaitu Decorate (2011), Yuna (2012), Sixth Street (2013) dan Nocturnal (2013).
Malam tadi persembahan konsert "Yuna, Live In Malaysia" berjaya menarik perhatian 3,000 peminatnya di Dewan Plenary, Kuala Lumpur City Centre, di sini. Yuna, buat julung kalinya, turut mendendangkan sebahagian lagu daripada album Nocturnal secara langsung khas buat peminatnya di sini antaranya "Someone Who Can", "Mountains" dan "Rescue." Kali terakhir beliau mengadakan konsert di sini adalah di Istana Budaya pada tahun 2013.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Yuna keluar album baru februari tahun depan"
Post a Comment