PELBAGAI pencapaian membanggakan telah diraih johan Akademi Fantasia (AF) musim ke tujuh ini sejak beberapa tahun lalu.
Selain kredibiliti vokal yang mantap, lagu-lagu nyanyiannya seperti Awan Nano, Masih Jelas, Ombak Rindu, Bahagiamu Deritaku, Matahariku seperti menghantui pendengarnya.
Sekali gus kejayaan yang dimiliki anak jati Kuching, Sarawak ini berjaya mengangkat kariernya berada dalam kelas yang tersendiri.
Namun sejak akhir-akhir ini populariti pemilik nama sebenar Mohd Hafiz Mohd Suip atau lebih terkenal dengan Hafiz Suip seakan merudum.
Mengakui situasi yang berlaku itu, Hafiz memiliki alasannya yang tersendiri selain melihat perkara itu dari sudut yang positif.
“Memang tahun ini karier saya kurang menyerlah dan sebagai seorang anak seni, saya menerimanya sebagai pasang surut kerjaya.
“Sebenarnya pada masa yang sama, saya terpaksa mengurangkan sedikit aktiviti seni memandangkan saya perlu menjalani sesi rawatan terhadap kecederaan tulang belakang saya yang masih berbaki lebih kurang tiga bulan lagi.
“Kalau diikutkan memang saya agak jauh ketinggalan tapi tidak ada apa yang boleh saya lakukan kerana kesihatan lebih penting,” jelasnya ketika ditemui pada sesi rakaman Gig Meletop Duo Bersama Hafiz Suip dan Uriah See, baru-baru ini.
Pada sesi rakaman tersebut, Hafiz dan Uriah telah menyampaikan lapan buah lagu seperti Dahsyat, You Raise Me Up, Ku Akui, Hanya Ingin Kau Cinta, Men In The Mirror, Malam Ini Kita Punya, Matahariku dan All Of Me.
Enggan menuding jari pada mana-mana pihak, Hafiz memilih untuk berfikiran lebih terbuka mengenai situasi yang berlaku terhadapnya.
“Bukan senang untuk mengekalkan nama dalam industri. Jadi saya perlu menghadapi situasi ini dengan tenang.
“Walaupun kurang menyerlah, tapi saya masih bersyukur kerana masih terlibat dengan beberapa persembahan.
“Walaupun tidak besar, tapi sekurang-kurangnya ia dapat mengubat rindu saya untuk beraksi,” ujarnya yang kini sedang mencari material terbaharu untuk album penuh yang dijangka siap tahun hadapan.
Dalam perkembangan lain, Hafiz bakal terlibat dengan penggambaran muzik video single duet bersama penyanyi Misha Omar yang berjudul Terimaku Seadanya.
Tunang tertekan
Selain faktor kesihatan, Hafiz turut mengakui memilih untuk memperlahankan kariernya tahun ini kerana sibuk dengan persiapan perkahwinan bersama tunangnya, Nureffy Jasreel yang bakal berlangsung 14 Mei 2016.
Tidak menafikan, status turut memberi kesan pada populariti seseorang artis, Hafiz bagaimanapun mahu peminat menerima seadanya.
“Itu terpulang kepada individu kalau mereka terlampau obses dan memikirkan seperti itu, saya tidak boleh melakukan apa-apa.
“Bagi saya itu hal peribadi dan saya pasti setiap manusia mahukan kebahagiaan begitu juga dengan saya. Jadi saya perlu terima kalau ada yang tidak suka,” ungkapnya.
Disebabkan perkara ini juga, Hafiz memberitahu ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada bakal isterinya itu.
“Kadang-kadang dia terasa bersalah sebab anggap dirinya sebagai punca saya kurang menyerlah.
“Ada satu masa dia rasa tertekan dan menyalahkan diri sendiri.
“Tapi saya berterus terang dengannya itu semua bergantung pada rezeki dan meyakinkannya apa yang terjadi adalah atas ketentuan ALLAH,” katanya dengan tenang.
Ditanya mengenai perkembangan majlis perkahwinannya, penyanyi berusia 25 tahun ini memberitahu sebanyak 40 peratus persiapan telah dilakukan.
“Majlis nikah dan resepsi sebelah perempuan akan berlangsung pada hari yang sama iaitu 14 Mei nanti dan resepsi sebelah saya akan dijalankan pada keesokan harinya di Kuching, Sarawak memandangkan saya perlu mendahulukan ahli keluarga di sana.
“Buat masa ini saya sudah selesai menempah dewan dan beberapa urusan pernikahan. Insya-ALLAH, majlis resepsi akan turut diadakan di Kuala Lumpur.
“Baru saya tahu bagaimana sulitnya merancang majlis perkahwinan!” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Betul ke Hafiz AF7 hilang popular?"
Post a Comment