Selepas bergelar bapa kepada dua cahaya mata, penyanyi popular Tomok mengakui dia perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga supaya bergerak seiringan.
Namun, kata penyanyi yang juga pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail, 31, ini, dia bersyukur kerana isterinya, Siti Rahayu Abas cukup memahami dan banyak membantunya menguruskan keluarga dengan baik.
“Alhamdulillah, kehadiran anak kedua Andrashah Iman yang kini berusia lapan bulan setengah makin melengkapkan kebahagian rumah tangga kami.
“Saya akui bukan mudah untuk menguruskan dua anak yang masih kecil kerana masing-masing ada kerenahnya.
“Anak sulung, Arrianshah Akid yang kini berusia tiga tahun setengah pula inginkan perhatian lebih daripada kami kerana dia akan cemburu apabila kami bersama adiknya.
“Memang mencabar untuk menguruskan dua anak yang mula membesar tetapi saya tetap menganggap ia pengalaman terindah sebagai ibu bapa,” katanya.
Diminta mengulas populariti diraih anak sulungnya Arrian di Instagram, Tomok berkata, dia juga akan lebih berhati-hati untuk memuatkan gambar anaknya di laman sosial ketika ini.
“Saya tidak akan memuatkan gambar Arrian pada setiap masa di laman Instagram kerana tidak mahu timbul sebarang isu membabitkan anak saya kerana bagi saya artis lain pun ada anak juga.
“Saya juga memutuskan memotong pendek rambut Arrian baru-baru ini pun kerana tidak mahu orang keliru dan bertanya pada kami sama ada jantinanya lelaki atau perempuan.
“Bukan saja membataskan untuk memuatkan gambar anak di laman sosial, saya juga tidak mahu terlalu mendedahkan anak saya kepada dunia hiburan kerana ingin melihatnya membesar seperti kanak-kanak lain.
“Bagaimanapun, jika anak-anak ingin mengikut jejak saya menjadi anak seni bila dewasa nanti, dia perlu menamatkan pengajiannya di kolej mahupun universiti terlebih dulu,” katanya.
Ingin jadi contoh kepada artis lain dunia seni ada pasang surutnya.
Sebagai selebriti Tomok percaya dia perlu bijak merencana masa depannya dan keluarga.
Justeru, kata Tomok, sampai masanya dia menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi seperti yang diimpikannya selama ini.
“Alhamdulillah, selepas menjalani ujian kemasukan, saya diterima untuk menyambung pengajian dalam ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) pada sesi Oktober 2015.
“Kursus ini membolehkan saya mendalami mengenai aspek pengurusan dalam industri kreatif dan bukannya sekadar tertumpu kepada bidang nyanyian saja.
“Insya-Allah dengan ilmu yang ada saya boleh menguruskan kerjaya seni sendiri sekali gus ingin menjadi contoh kepada selebriti lain,” katanya.
Beralih perkembangan karier seninya pula, Tomok berkata, dia akan muncul dengan single solo terbarunya pada tahun depan.
“Selain sibuk memenuhi undangan persembahan terutama hujung minggu, saya juga sibuk mencari material untuk single solo terbaru pada tahun depan.
“Bagi peminat kumpulan Manifesto pula, kami masih bersama dan akan muncul dengan single baru pada November nanti,” katanya.
Terdahulu, Tomok juga melancarkan album keduanya berjudul Tomok: Aku Datang yang turut memaparkan kematangannya sebagai penyanyi termasuk daripada segi pemilihan lagu sebelum ini.
Selain mencipta empat lagu, Tomok juga bertindak selaku penerbit album berkenaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Bukan jadi masalah Tomok untuk menjaga dua anak"
Post a Comment