Gegar Vaganza 2 susah mencari kesilapan

SHAH ALAM: Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) gegak gempita dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton yang teruja menyaksikan konsert pengenalan Gegar Vaganza (GV)musim kedua.

Persembahan mantap 12 penyanyi terkenal tanah air yang menunjukkan kehebatan masing-masing buat peminat bersorak riang seakan-akan menonton pusingan akhir.

GV turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai artis popular sebagai tanda sokongan rakan seangkatan yang bertanding, antaranya Rohana Jalil, Zur Eda, Amelina, Datuk Shah Reza, Rohana Jalil, Salwa Abdul Rahman dan Jaafar Onn.

GV yang bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) ini dibuka dengan persembahan pengacara Nabil dan Jihan menerusi lagu Memori Daun Pisang.

Suasana semakin hangat apabila Faizal Hussein menyanyikan lagu Hanya Di Radio dan diperkenalkan sebagai juri jemputan yang akan menemani dua juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Ezad menjadi peserta pertama membuat persembahan menerusi lagu Mengintai Dari Tirai Kamar, diikuti 11 penyanyi lain yang menyanyikan lagu popular masing-masing.

Bertepatan dengan tema Kembali Menyengat, Ezad, Nassier Wahab, Zul Handy Black, Amir Ukays, Nizam Laksamana, Acong Sweetchild, Siti Nordiana , Haiza, Ezlynn, Azian Mazwan Sapuwan, Faradhiya dan Sheeda berjaya menunjukkan kualiti vokal yang hebat.

Bahkan tiga juri sependapat mengakui sukar mencari kesilapan mereka. Bagaimanapun, Nassier Wahab dan Faradhiya menerima pujian daripada Ramli kerana menampilkan persembahan yang agak berbeza.
Selain nyanyian, elemen komedi spontan yang disuntik menerusi Nabil dan Jihan turut menjadi faktor program ini menarik ditonton. Biarpun tindakan mereka mengusik Ramli dilihat agak keterlaluan, ia sekadar memeriahkan suasana.

Suasana cemas dirasai ketika pusingan penyingkiran yang mengetengahkan format baru. Semua artis selamat kecuali Acong, namun ia hanya gimik dan kembali menarik nafas lega apabila dapat menyertai rakan ke minggu kedua.

Ramli ketika ditemui mengakui barisan penyanyi yang bertanding berpengalaman luas dan sudah bersedia melalui apa saja cabaran GV.

“Apabila beraksi dalam program ini, tidak ada tanggapan yang mereka tak boleh menyanyi. Daripada segi persembahan dan vokal semuanya bagus.

“Namun penonton akan bosan kalau setiap minggu begitu. Jadi kebijaksaan pengacara iaitu Nabil dan Jihan penting dalam membantu memeriahkan program ini.

“Saya puji Faradhiya kerana sudah lama tak dengar nyanyian begitu. Vokalnya setaraf penyanyi Indonesia, seperti Datuk Rossa.

“Apapun cabaran sebenar adalah apabila peserta kena menyanyikan lagu artis lain minggu berikutnya,” katanya.

Pengurus Saluran Astro Ria (104) Raqim Ahmad pula mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa ditunjukkan peminat.

“Sebelum ini kami buat rakaman dan kali ini secara langsung. Penampilan artis dari era berbeza menjadikan GV unik dan menarik. Artis diberi kuasa memilih lagu masing-masing, tetapi kami berhak menolak.

“Nabil dan Jihan wajar dipuji kerana berjaya mengendalikan program ini dengan baik. Saya kerap ingatkan Nabil supaya berhati-hati ketika berbicara, tetapi memandangkan GV bersiaran secara langsung, kadang-kadang terlepas juga,” katanya.

Sementara itu Faizal seronok terbabit dengan program ini dan berhasrat menjadi juri lagi sekiranya dijemput.

“Mulanya saya hanya dijemput untuk terbabit dalam promo GV. Kemudian timbul idea saya menyanyi dan diajak menjadi juri.

“Awalnya saya rasa banyak kerja pula nak dibuat dalam satu malam. Apatah lagi saya tak suka komen kerja orang. Apabila berpeluang melihat penyanyi beraksi depan mata, rasa teruja dan seronok pula,” katanya yang memenuhi permintaan Nabil melakukan aksi tarian ‘breakdance’.

0 Response to "Gegar Vaganza 2 susah mencari kesilapan"

Post a Comment