KUALA LUMPUR: Terlalu rumit untuk buat artis terkenal, Nora Danish merungkaikan kisah perhubungannya dengan Nedim Nazri yang terlerai dua bulan lalu. Kata pelakon berusia 33 tahun itu, hanya empunya diri yang lebih tahu situasi sebenar berlaku antara mereka selepas menjalinkan cinta sejak tiga tahun.
Namun kesempatan penulis bertemu Nora sebentar tadi di sidang media teater Mak Cun di Istana Budaya, dekat sini, memberi ruang untuk mendapat penjelasan perkara sebenar.
Isu gambar dia bercuti bersama Nedim, 34, di Bali dengan teman yang lain, baru baru ini menjadi alasan mengapa Nora berani bersuara. Khususnya mengenai gambar berbeza yang dimuat naik Nora di laman Instagram bersama Bunga Citra Lestari.
Dan suami Bunga iaitu Ashraf Sinclair pula bersama Nedim di kepulauan berkenaan menjadi kemuncak yang menyerlahkan mereka sebenarnya bercuti bersama.
"Memang kami berpisah seperti dilaporkan seperti sebelum ini. Biar sudah putus kami tetap berkawan. "Tapi kami berpisah sebenarnya bukan atas kerelaan.
Cuma apabila gambar di Bali itu dimuat naik ada pula yang menganggap kami putus hanya sandiwara semata mata termasuk ada yang anggap kami menipu peminat.
"Apabila kejadian Bali itu berbangkit sekalipun daripada gambar kami dengan orang berbeza, tiada langsung saya nak sorok apa apa. Cuma saya tidak mahu ia mengelirukan peminat.
Sebab itu saya tak pernah muat gambar dengannya berdua di laman sosial. "Ikutkan selepas berpisah kami masih lepak bersama, cuma selesa biarkan ia low profile.
"Hidup saya selama ini pun penuh drama. Saya juga ada tanggungjawab kepada anak dan keluarga. Malah saya memperlahankan rentak seni beberapa bulan untuk memberi perhatian kepada bidang perniagaan dan mahu berehat," katanya yang ke Bali bersama rakan dan Nedim untuk meraikan hari lahir salah seorang teman mereka.
Apa yang cuba dijelaskan Nora mengenai status hubungannya dengan Nedim sebenarnya amat mengelirukan. Jelas bagaikan masih ada perasaan sayang Nora terhadap Nedim.
"Benar ia amat rumit. Kami berpisah kerana mahu selesaikan masalah. Masalah itu memang tak ada kaitan dengan kami tetapi ia membabitkan orang lain.
Setakat ini sudah 80 peratus masalah itu dapat diselesaikan.
"Tak wujud istilah kami berpisah kerana nak cari orang baharu. Selepas satu persatu masalah diselesaikan, situasi hubungan kami jadi berbeza mengikut peredaran masa.
"Jika hubungan kawan kami selepas ini ke arah berkahwin, saya sendiri tak mampu menduga. Saya harap orang tak terkejut jika hal itu terjadi. Semuanya tak mustahil.
"Ikutkan juga selepas kami putus, ada bekas kekasih dan teman yang cuba mendekati saya.
Tapi saya tolak. Mungkin juga peluang itu masih saya buka kepada Nedim. Ini kerana sepanjang tiga tahun, kami melalui fasa indah," kata pelakon filem Polis Evo itu.
Mengenai pembabitannya menerusi teater komedi Mak Cun di Panggung Sari, Istana Budaya, Nora mengakui menerima tawaran itu kerana Erma Fatima yang turut bertindak sebagai pengarah. Sebelum ini Nora pernah berlakon teater Bahayanya Wanita juga diarahkan Erma.
"Saya terima tawaran ini memang sebab Erma. Saya sanggup tolak tawaran lain kerana ini. Ikutkan gian sebenarnya nak ke pentas teater.
Teater menjadi medan terbaik untuk saya terus mengasah bakat lakonan. "Semalam ketika sesi pembacaan skrip, saya sendiri ketawa hingga mengalirkan air mata.
Saya sendiri juga sudah gelak pecah perut dengan cerita ini dan harap penonton nanti juga akan melalui hal yang sama. Ia bukan sekadar cerita komedi semata mata tetapi mempunyai mesej berguna," kata Nora.
Teater Mak Cun ini turut dibintangi Erma Fatima, Datin Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Dafi Ismail, Ungku Ismail, Betty Rahmad dan Balkisyh Semundur Khan. Tiket dijual pada harga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156. Tiket boleh dibeli dengan melayari www.redtix.airasia.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Benar Nora Danish dan Nedim Nazri berpisah"
Post a Comment