Wajah si cilik Amelia Henderson sering menghiasi kaca televisyen dengan keletahnya yang bijak. Pasti ramai tidak tahu kanak-kanak yang petah berbicara itu sudah membesar sebagai gadis jelita dan bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Tengku Harun, 29.
"Saya mula aktif menerima tawaran iklan dan drama sejak kecil lagi. Namun, saya menyepikan diri untuk tempoh lima tahun dan kini bersedia kembali aktif berlakon.
"Ramai yang mempersoalkan tindakan saya berkahwin pada usia 20 tahun, namun saya tidak menganggap ia sebagai penghalang untuk membina kerjaya dalam bidang seni.
"Saya bersyukur kerana mempunyai suami dan keluarga yang memberikan sepenuh sokongan terhadap minat saya," katanya kepada BH Online. Amelia dan Tengku Harun melangsungkan perkahwinan pada 20 Ogos lalu.
Menurut Amelia, mereka mula berkenalan ketika pelakon itu mengacarakan majlis keluarga Tengku Harun.
Bercerita mengenai perkembangan kerjayanya, Amelia mengakui barisan pelakon drama bersiri 13 episod Pontimau banyak memberi tunjuk ajar dan membantu mengatasi masalah pelatnya.
"Kadang kala saya menghadapi kesukaran untuk melontarkan dialog kerana masalah pelat ketika berkomunikasi dalam bahasa Melayu.
"Namun, pelakon-pelakon Pontimau banyak membantu dengan menggunakan bahasa Melayu ketika berborak dengan saya.
"Saya akan cuba memperbaiki pelat dan belajar kerana tidak wajar untuk kita mengabaikan bahasa ibunda setelah 20 tahun bermastautin di sini," katanya.
Amelia membintangi drama bersiri 13 episod berjudul Pontimau untuk slot Aksi di TV3 bersama Marsha Milan Londoh, Keith Foo dan ramai lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Amelia Henderson berlakon kembali"
Post a Comment