Kali terakhir wajah pelakon, Elfaeza Ul Haq, 30, muncul di kaca televisyen adalah menerusi drama Keluarga Karaoke yang ditayangkan di saluran Astro tahun lalu.
Selepas itu, gadis kelahiran Singapura ini senyap seketika dan muncul kembali di pentas Anugerah Planet Muzik 2015 lalu dengan imej berhijab.
Ketika dihubungi Elfaeza berkata, niat untuk berhijab sudah lama ada dan bersyukur apabila ia dipermudahkan Allah SWT.
“Ikutkan saya tidak mahu perkara ini terlalu dihebohkan, bimbang nanti timbul cerita lain pula. Penghijrahan ini tiada kena mengena dengan hal lain sebaliknya atas kesedaran diri sendiri,” katanya.
Elfaeza atau nama sebenarnya Siti Elfaeza Mohmed Ehsan Ul Haq yang kini sibuk menjalani penggambaran drama Inggeris berjudul Tanglin di Singapura bagaimanapun perlu akur berlakon tanpa hijab.
“Saya tidak mahu orang salah faham apabila ada melihat saya tidak bertudung. Bukan apa, kontrak membintangi drama ini sudah dipersetujui Mac lalu. Saya pula baru berhijab tiga bulan lalu.
“Ketika penggambaran saja saya tidak bertudung, di luar lokasi saya tetap memakai hijab,” katanya.
Menurut Elfaeza, kontrak dengan produksi Mediacorp Ch5 membabitkan 199 episod itu akan berakhir pertengahan tahun depan.
Memandangkan kontrak terbabit mungkin dilanjutkan bagi tahun kedua, Elfaeza sukar memenuhi komiten lain termasuk berlakon di Malaysia.
“Buat masa sekarang saya masih berulang-alik antara Singapura dan Malaysia. Apabila tak ada penggambaran, saya balik KL.
“Tawaran berlakon pun saya terpaksa tolak sebab belum ada produksi yang boleh ikut jadual penggambaran drama ini,” katanya.
Disebabkan sudah lama tidak berlakon di Malaysia, sesekali timbul rasa kerinduan dalam dirinya untuk bekerjasama dengan produksi di negara ini.
“Memang rindu tapi nak buat macam mana. Apabila ada peluang berlakon di negara sendiri, rasa lebih tenang.
“Selain itu saya dapat belajar banyak perkara baru. Kalau terperap di tempat sama, susah nak timba pengalaman baru. Paling penting dapat bertukar-tukar pendapat,” katanya.
Tambah pelakon drama Adam & Hawa ini lagi, selagi ada peluang bekerja di tempat baru, dia tidak akan sesekali melepaskannya.
“Jika satu hari nanti ada tawaran berlakon di Indonesia atau Thailand, saya akan pergi sebab nak belajar cara mereka bekerja pula.
“Bukan nak buat perbandingan tapi mahu belajar perkara baru. Sesekali nak ubah angin, apa salahnya,” kata Elfaeza seraya berseloroh sejak berada di negara sendiri tiada lagi gosip mengenainya diperkatakan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Alhamdullilah Elfaeza Ul Haq dipermudahkan untuk berhijab"
Post a Comment