BOLLYWOOD: Bermula sebagai model di tanah kelahirannya, Mumbai, India kini nama Freida Pinto mula menjadi tumpuan dunia.
Populariti yang diraihnya itu datang dalam sekelip mata hanya kerana filem sulung lakonannya, Slumdog Millionaire pada 2008.
Masakan tidak, filem arahan Danny Boyle itu telah membawanya mengembara dari satu festival ke satu festival filem.
Antaranya adalah Festival Filem Antarabangsa Palm Springs, Anugerah Pilihan Pengkritik, Anugerah Golden Globe, dan Anugerah British Academy Of Film & Television Arts (BAFTA).
Jika disemak kembali, Pinto aktif membabitkan diri dalam semua kegiatan drama sejak zaman persekolahan lagi.
Malah, selepas tamat pengajian di Kolej St Xavier, Mumbai, dia menjadi peragawati selama dua tahun bersama-sama ejen model Elite Model Management India.
Pada masa sama, Pinto juga bercita-cita menjadi pelakon dan cuba menghadiri uji bakat untuk mencari peluang berlakon filem.
Katanya, minat dalam dunia lakonan datang secara semula jadi kerana tinggal di kota yang menjadi tumpuan bintang Bollywood.
“Selepas enam bulan menghadiri satu demi satu uji bakat, suatu hari saya menerima panggilan telefon meminta hadir untuk uji bakat filem Slumdog Millionaire.
“Ketika itu, saya sekadar ingin mencuba sebagaimana percubaan sebelum ini dan tidak berharap untuk diterima.
“Tetapi, saya terkejut apabila nama saya berada dalam senarai pendek dan akhirnya dipilih,” katanya.
Tambahnya, pengalaman menjayakan Slumdog Millionaire disifatkannya sebagai satu pengalaman dan pendedahan yang cukup besar.
Bahkan, Pinto turut mengakui banyak menerima tawaran berlakon selepas kejayaan filem terbabit.
Bagaimanapun, selepas Slumdog Millionaire, Pinto mahu mencuba sesuatu yang baharu kerana suka melakukan sesuatu berbeza untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman.
“Saya tidak kisah berlakon apa pun tetapi saya lihat filem komedi agak berbeza dan ingin mencubanya.
“Itulah sebabnya saya memilih untuk menyertai bengkel lakonan bersama sifu teater, Barry John supaya dapat mendalami selok-belok tentang lakonan,” katanya.
Sehingga ke hari ini, Pinto sudah membintangi pelbagai filem pecah panggung seperti You Will Meet a Tall Dark Stranger (2010), Miral (2011), Rise of the Planet of the Apes (2011), Trishna (2011), Day of the Falcon (2011), Immortals (2011), Girl Rising (2013) dan Desert Dancer (2014) selain aktif dalam kerja-kerja peragaannya.
Tak lupa India
Meskipun sudah mencipta nama di Hollywood, Pinto bukanlah jenis yang lupa daratan.
Malah, bekas kekasih aktor, Dev Patel ini sudah bersedia untuk mencipta nama di tanah tumpah darahnya sendiri, India.
Pada masa sama, aktres berusia 30 tahun itu turut melahirkan hasrat untuk berlakon di Bollywood dan teringin untuk bekerjasama di bawah arahan pengarah wanita.
“Saya memang mahu bekerja di Bollywood dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang saya tidak mahu bekerja dengan industri perfileman di India.
“Saya suka jika dapat bekerja dengan pengarah wanita.
“Sebelum ini saya pernah dapat skrip filem Bollywood yang menarik, tetapi pada waktu sama saya sudah ada projek di Hollywood. Ada pula dapat tawaran, tetapi watak pula tidak bagus,” katanya.
Menurutnya, apa pun jua, Hollywood tetap di hatinya dan bangga kerana dapat melebarkan bakatnya merentasi sempadan India.
“Saya sentiasa mahu menjadi warga global. Menjadi impian saya untuk mencipta nama pada peringkat antarabangsa walaupun saya kena selalu mengemas beg untuk ke serata dunia.
“Semoga kerja keras, impian dan kejayaan saya ini menjadi inspirasi kepada semua gadis di luar sana,” katanya.
Tambahnya, apabila ke Hollywood, dia tidak meletakkan dirinya sebagai wakil daripada mana-mana negara tetapi melangkah sebagai seorang artis.
“Apabila saya memilih watak, saya melihat daripada segi kandungan dan bukan kerana saya dari India, maka saya hanya boleh melakonkan watak tertentu saja,” katanya.
Terbang ke Colombia
Dalam perkembangan lain, aksi Pinto dapat dilihat menerusi kemunculannya dalam filem Blunt Force Trauma.
Selain Pinto, filem arahan Ken Sanzel ini turut memperlihatkan gandingan dua pelakon berbakat besar, Mickey Rourke dan Ryan Kwanten sebagai watak utamanya.
Menariknya, filem bergenre aksi ini memilih Colombia sebagai lokasi utama penggambarannya.
Penerbit eksekutif filem, Gary Preisler dan Eric Brenner bersependapat Bogota, Colombia adalah tempat terbaik untuk membikin filem terbabit.
“Kami telah menilai dan melihat kemungkinan akan membuat penggambaran filem ini di New Orleans, Vancouver, Winnipeg, Alabama, Toronto,dan lain-lain.
“Namun, kami rasa Bogota adalah yang paling sesuai sekali.
“Kami turut mengkaji daripada pelbagai aspek seperti keselamatan dan peralatan,” katanya.
Blunt Force Trauma berdasarkan kepada permainan tembakan dan pengembaraan John dan Colt dalam menempuhi budaya pertarungan secara sulit.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Freida Pinto melonjak naik"
Post a Comment