Gegar Vaganza Musim ke-2






Gegar Vaganza musim kedua (GV2) yang akan mula bersiaran pada 18 Oktober ini diubah kepada format siaran langsung. Ia bagi mengelakkan kebocoran keputusan peserta yang tersingkir setiap minggu seperti yang berlaku pada musim pertama lalu.

Selain itu, produksi memerlukan maklum balas terus daripada penonton untuk penambahbaikan dan pembaharuan pada minggu seterusnya.

Pada sidang media program itu kelmarin, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, musim pertama GV sekadar menguji pasaran dan tidak menyangka ia mendapat sambutan luar biasa dan muncul sebagai program paling popular di stesen TV berbayar itu.

“Lebih 30 penyanyi minta menyertai musim ini. Kriteria yang ditetapkan, peserta mesti ada sekurang-kurangnya satu lagu popular yang mampu menggamit semula kenangan peminat.

“Mereka akan ditemu bual dan karakter peserta turut dinilai. Ada antara mereka yang menawarkan diri malah sehingga kelmarin saya masih mendapat WhatsApp daripada penyanyi yang berminat menyertai GV2. Peserta selebihnya menerusi pemilihan pihak produksi,” katanya.

Ujar Raqim lagi, jika tahun lepas GV hanya menyenaraikan 10 peserta, kali ini berbeza apabila 12 penyanyi akan berentap merebut gelaran juara.

“Pada musim terdahulu, ramai tidak tahu konsep GV tetapi apabila program itu besar impaknya, ramai mahu menyertainya.

“Majoriti peserta sudah lama tidak beraksi di atas pentas dan ada antaranya mencari rezeki sebagai pelakon,” katanya.

Raqim memaklumkan ada peserta terpaksa menolak tawaran kerana hamil dan ada juga tidak dapat memberi komitmen beraksi setiap minggu.

“Apabila bersiaran secara langsung, peserta mesti memberikan komitmen dari Jumaat hingga Ahad.

“Kami sama sekali tidak menyenaraihitamkan peserta yang menolak tawaran kerana memahami situasi mereka. Jika ada rezeki mereka akan diundang lagi untuk musim depan,” katanya.

Peserta yang bakal berentap pada GV2 adalah Nassier Wahab, Ezad Lazim, Zul Handy Black, Amir Ukays, Nizam Laksamana, Acong Sweetchild, Siti Nordiana (Nana), Haiza, Ezlynn, Azian Mazwan Sapuwan, Faradhiya dan Shee­da.

Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim sekali lagi diundang sebagai juri tetap dan akan ada juri jemputan pada setiap minggu.

Menerusi petandingan dihoskan Nabil Ahamd dan Jihan Muse itu, juara akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua (RM50,000), ketiga (RM30,000) dan keempat (RM15,000).

Pamoga Vida Beauty Qu Puteh bertindak selaku penaja utama GV2 yang bersiaran secara langsung dari Dewan Auditorium, Bandaraya Shah Alam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) itu.

0 Response to "Gegar Vaganza Musim ke-2"

Post a Comment