Status isteri nyata tidak sedikit pun menghalang pelakon Ramona Zamzam, 25, untuk terus aktif dalam karier lakonan yang diceburinya sejak remaja.
Ramona atau nama sebenar Rosramona Qadira Mohd Zamzam bernikah dengan jejaka Palestin, Rami Alashkar, 27, pada 1 Mei lalu selepas dua tahun berkenalan.
Semakin rancak memenuhi tawaran berlakon drama, Ramona kini muncul dengan drama Plan Cinta Tak Jadi lakonannya bersama Nur Fathia Latiff, Fattah Amin dan Arja Lee.
Drama disiarkan Astro Ria yang turut menampilkan penyanyi Mark Adam itu, menemui penonton setiap Isnin jam 10 malam dan Ramona melakonkan watak sebagai Cici.
Bergenre romantik komedi, Ramona berkata suaminya seorang yang cukup memahami dan tidak cemburu menyaksikan lakonannya bersama lelaki lain.
“Saya berasa sangat bersyukur ditemukan jodoh oleh Allah bersama Rami. Dia ternyata seorang yang sangat menyokong karier seni saya.
“Bahkan, Rami juga tidak campur tangan dalam urusan saya membuat keputusan untuk menerima sesuatu watak. Saya masih ada kebebasan untuk membuat keputusan sendiri.
“Namun, sebagai isteri saya sama sekali tidak membelakangkan Rami. Kami masih lagi berbincang dan saya akan memberi penjelasan kepadanya mengenai watak akan dilakonkan.
“Apapun, setakat ini Rami tidak pernah mengongkong saya. Bahkan, dia selalu memberi ruang kepada saya menerima tawaran yang difikirkan terbaik,” katanya.
Ramona yang kini terbabit penggambaran Rindu Bertemu Tuhan untuk RTM, turut memaklumkan dia juga akan membintangi drama 13 episod, Anakku Diva.
Drama terbitan JS Pictures itu dijangka memulakan penggambaran pada hujung Oktober ini. Ujar Ramona, rezekinya sangat murah selepas berkahwin.
“Saya sebenarnya tidak pernah terfikir langsung rezeki berlakon akan berkurang selepas mendirikan rumah tangga. Ternyata, Allah melancarkan perjalanan karier saya.
“Tawaran berlakon yang diterima pun tidak putus dan saya amat gembira. Bagi saya, apa yang sudah dirancang Allah itu adalah yang terbaik,” katanya.
Menurut Ramona, sejak berstatus isteri orang ini kehidupan peribadinya juga semakin tenang. Katanya, sekarang pergi ke mana saja semestinya bersama suami.
Jadi, secara tidak langsung ujar Ramona dirinya sudah tidak lagi dihimpit sebarang gosip atau cerita sensasi. Kini, kehidupannya bahagia.
Berbicara juga mengenai tawaran berlakon filem, Ramona yang pernah muncul sebagai watak utama dalam Jengka arahan Aziz M Osman berkata setakat ini rezekinya menjurus pada berlakon drama dan telefilem.
“Jujur diakui, saya tidak terkejar-kejar pun mencari peluang untuk berlakon filem. Bagi saya, mendapat tawaran berlakon drama atau telefilem pun sudah memadai.
“Lagi pun, saya sendiri selesa berlakon drama dan hingga kini kebanyakan penonton mengenali saya melalui drama dan telefilem yang dibintangi,” katanya.
Ramona yang turut ditanya mengenai perancangan keluarga berkata buat masa sekarang dia dan suami memang merancang untuk menimang cahaya mata.
“Terus-terang, saya kata kami masih lagi dalam ‘mood’ menyulam cinta. Kami suami isteri tidak mahu terburu-buru dalam soal memiliki anak.
“Ditambah, perkahwinan kami pun baru mencecah enam bulan. Malah, kami merancang mungkin pertengahan atau hujung tahun depan untuk mula memikirkan soal cahaya mata.
“Bagaimanapun, ini hanyalah perancangan. Mana tahu, ketentuan Allah memberikan kami rezeki anak lebih awal semestinya saya bersama suami takkan menolak,” katanya.
Berbicara apakah dia akan rimas jika perlu berhadapan soalan menimbang cahaya mata daripada media, Ramona berkata dia faham dan bersikap terbuka.
Kata anak sulung daripada dua beradik ini, dia takkan melatah atau cuba mengelak. Menurutnya, dia lebih selesa bersikap terus terang.
Selesa menguruskan jadual lakonannya sendiri, Ramona berkata setakat ini dia masih tidak menggunakan khidmat pengurus atau pembantu peribadi. Suami juga tidak akan mencampuri urusan kerjaya seni apatah lagi menjadi pengurus.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Ramona Zamzam bebas pilih watak"
Post a Comment