KUALA LUMPUR: Lambakan konsert akhir tahun nampaknya menunjukkan industri hiburan masih bernyawa sekalipun berdepan dengan keadaan pasaran muzik tak menentu.
Tinjauan mendapati antaranya yang bakal mengadakan konsert mereka sepanjang tempoh itu adalah Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk M Nasir, selain Wings, Hujan dan Soo Wincci pada hujung bulan ini.
Tak ketinggalan Konsert Ku Mohon membariskan Anuar Zain, Akim & The Majistret, Raihan, Ebiet G Ade, Opick, Humood Al Khudeer selain konsert kerjasama Mawlaya Network Sdn Bhd yang menampilkan Erra Fazira, Datin Umie Aida, Remy Ishak dan Ungku Ismail.
Selain itu kumpulan Exist turut akan terbabit dalam konsert The Blue Jeans pada 23 Oktober ini. Konsert yang sama juga menampilkan dua kumpulan muzik legenda lain iaitu kumpulan rock terkenal, May yang akan membuat persembahan pada 24 Oktober dan Blues Gang (25 Oktober).
Pendek kata memang banyak pilihan penggemar muzik untuk menonton konsert yang dimahukan.
Bagaimanapun di sebalik kerancakan itu, selain ada beberapa artis yang mendapat masalah penaja, isu penjualan tiket yang perlahan juga bukan pelik saat ini.
Berbeza dengan Konsert Satu Suara Volum 2 di Panggung Sari, Istana Budaya oleh Siti Nurhaliza pada 7 dan 8 November yang turut menampilkan penyanyi terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli Sarip dari Singapura, kian laris.
Siti yang dihubungi memaklumkan, tiket konsertnya sudah pun terjual melebihi 70 peratus dalam masa hampir dua minggu untuk dua hari program itu. "Berita ini cukup menggembirakan Siti kerana sambutannya sangat menggalakkan di kalangan peminat serta penggemar kami bertiga.
"Ia menunjukkan sesuatu yang positif kerana sebagai penerbit konsert, perasaan berdebar itu tetap ada dalam menantikan maklum balas orang ramai ketika konsert berlangsung.
"Tambahan pula konsert ini hanya dimaklumkan lebih kurang sebulan sebelum konsert berlangsung. Harapan saya pastinya supaya menjelang konsert ini, tiket akan terjual sepenuhnya. Insya-Allah.
"Tiket juga bukan hanya dibeli peminat di Malaysia tetapi dari Indonesia, Singapura dan Brunei. Alhamdulillah," katanya yang galak bersenam saat ini bagi meningkatkan stamina.
Konsert Satu Suara Volum 2 menjadi kesinambungan kepada Konsert Satu Suara yang pernah diadakan di lokasi yang sama pada tahun 2010 menampilkan Datuk Siti Nurhaliza selain teraju utama Aizat Amdan dan Faizal Tahir.
Konsert ini juga mengisi perancangan asal konsert muzikal Siti Nurhaliza yang dirancang pada bulan yang sama sebelum ini. Konsert muzikal berkenaan bagaimanapun tidak dibatalkan sebaliknya ditunda pada tahun lain.
Tiket menonton persembahan konsert selama dua jam ini akan mula dijual pada 9 Oktober dan boleh didapati menerusi laman sesawang, www.AirAsiaRedTix.com. Harga tiket dijual pada harga RM78, RM108,RM 218,RM238, RM278, RM338 dan RM518. Tiket turut dijual di premis seperti di The Rock Corner The Gardens, Bangsar Village, Subang Parade, The Curve, Amcorp Mall, Tropicana Mall dan Istana Budaya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Tiket konsert Siti Nurhaliza laris"
Post a Comment