Ayda Jebat dalam industri seni barangkali masih hijau, namun tidak keterlaluan untuk mengatakan dia antara bakat baharu dalam bidang lakonan yang kini semakin diterima ramai.
Tidak hanya berbakat dalam bidang lakonan, Ayda yang mula menceburi bidang seni selepas menyertai Akademi Fantasia musim ke-9 turut berbakat dalam bidang nyanyian.
Baru sahaja muncul dengan single Siapa Diriku, timbul pula beberapa dakwaan yang mengatakan pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat ini dilihat seolah-olah meniru konsep yang dibawa Meghan Trainor menerusi lagu Dear Future Husband.
Tidak melatah dengan dakwaan yang dilemparkan, Ayda yang ditemui Zass baru-baru ini menjelaskan, dia tidak pernah meniru mana-mana pihak dan konsep lagunya hanyalah kebetulan kerana mempunyai konsep dan melodi yang sama.
“Saya tidak melihat konsep lagu dan muzik video sebagai ciplak. Tapi saya akui mendapat inspirasi daripada lagu Trainor. Cuma berkaitan lagu yang orang kata sama, pada saya ia hanya kebetulan kerana lagu saya konsepnya adalah sebegitu,” katanya.
Ayda berkata, dia kadang kala merasa kecewa apabila ada sesetengah pihak memperlekehkan usahanya menghasilkan muzik video berkenaan tanpa mengetahui betapa keras usaha dalam menyiapkan muzik video tersebut.
“Saya siapkan muzik video ini dalam masa satu hari sahaja. Bayangkan masa tengah penggambaran, saya berhenti sekejap dan lari ke satu program muzik dan kemudian kembali menyiapkan muzik video ini.
“Ia memang amat meletihkan, namun ini sahaja yang mampu saya berikan dengan bajet yang ada. Saya harap orang melihat muzik video ini untuk sama-sama berhibur.
“Bagaimanapun saya terima segala kritikan yang diberikan dan saya akan hasilkan dan berikan lagu yang lebih baik selepas ini,” jelasnya.
Menurut gadis berusia 23 tahun ini, dia juga sudah mendapat tawaran untuk menghasilkan single baharu, namun belum dapat membuat keputusan sama ada akan setuju menyanyikannya atau tidak.
“Pertama sekali sebab saya perlu pertimbangkan dahulu kerana single Siapa Diriku masih baru dikeluarkan. Malah saya berangan untuk membawa lagu ini sehingga ke Juara Lagu.
“Kedua kerana konsep single baharu ini agak lain dan saya tak mahu peminat keliru dengan genre yang dibawakan. Jadi saya tak mahu terburu-buru dalam menghasilkan lagu baharu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ayda berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaru dan baru sahaja pulang dari Amsterdam menjalani penggambaran bersama pelakon lain termasuk Aiman Hakim Ridza.
Selain drama bersiri, ujar Ayda, dia turut mendapat tawaran filem daripada sebuah produksi di Indonesia, namun terpaksa ditolak.
“Macam saya cakap tadi, saya tak mahu terburu-buru. Bila mereka tawarkan saya sebagai teraju utama dalam sebuah filem, saya minta untuk lihat skripnya dahulu dan saya rasa tak sesuai untuk saya.
“Bila terlibat dalam filem pertama, tentunya saya impikan sebuah naskhah yang menarik dan berbaloi untuk mereka yang membayar tiket untuk menonton filem berkenaan.
“Saya tak mahu orang pergi menonton filem sebab ada Ayda Jebat tetapi sebab naskhah filem itu menarik untuk ditonton,” katanya.
Lali usikan
Tidak hanya berbicara soal karier semata-mata - bagai tidak lengkap perbualan andai tidak menyentuh soal hubungan teman tapi mesranya dengan aktor Zul Ariffin.
Apatah lagi, baru-baru ini, bertebaran cerita kononnya Zul kini mempunyai hubungan dengan pelakon baharu, Zahirah MacWilson, biarpun dalam masa umum sedia maklum, Zul sudah beberapa tahun menjalinkan hubungan dengan penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai.
Mengakui lali dengan usikan dan pertanyaan berkaitan Zul, akui Ayda, dia tidak rimas dengan perkara itu dan sebaliknya merasakan usikan itu sebagai satu penghormatan.
“Bagi saya mengapa perlu jadikan ia sebagai satu masalah kerana sebelum ini kita cukup sinonim dengan gandingan Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Azmil Mustaffa dalam beberapa filem gandingan mereka.
“Bahkan ada juga beberapa pelakon yang cukup direstui peminat kerana gandingan mereka di dalam drama mahupun filem.
“Begitu juga dengan kami. Kalau dulu kita ada Fauziah dan Azmil, mengapa tidak untuk Ayda dan Zul. Tapi bukan bermakna kami bercinta, sebaliknya ia membuktikan gandingan kami di kaca TV menjadi dan orang suka,” katanya.
Tambah Ayda, buat sementara waktu ini cinta tidak menjadi fokus utamanya sebaliknya dia mahu memastikan nama Ayda Jebat tidak cepat ditenggelami arus perkembangan industri seni.
“Saya masih muda, masih banyak yang perlu saya kecap. Jadi perlahan-lahanlah. Pada saya cinta bukan keutamaan kerana saya juga ada target yang mahu saya capai,” akhirinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Ciplak itu bukan sifat saya : Ayda Jebat"
Post a Comment